DUNIA > BERITA

Mesir, AS Adakan Perbincangan Mengenai Gencatan Senjata Gaza

11/10/2025 09:48 PM

ISTANBUL, 11 Okt (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty mengadakan perbincangan mengenai perkembangan serantau dan usaha gencatan senjata di Gaza bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Jumaat, menurut kenyataan kementerian pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap Kementerian Luar Mesir dalam kenyataan itu berkata bahawa semasa panggilan telefon berkenaan, Abdelatty dan Rubio membincangkan situasi semasa di rantau itu serta perkembangan positif berkaitan gencatan senjata di Gaza.

Perbincangan itu turut merangkumi persiapan bagi sidang kemuncak mengenai Gaza yang akan datang di Sharm el-Sheikh, Mesir, yang akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden AS Donald Trump, menurut kenyataan itu.

Abdelatty berkata: “Penyelesaian isu Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara akan menjamin keamanan, kestabilan dan keselamatan yang berkekalan di rantau ini.”

Pada Rabu, Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara yang dibentangkannya pada 29 Sept bagi mencapai gencatan senjata di Gaza, memastikan pembebasan semua tahanan Israel yang ditahan di situ dengan pertukaran sekitar 2,000 tahanan Palestin, serta memastikan pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.

Fasa pertama perjanjian itu berkuat kuasa pada tengah hari Jumaat waktu tempatan (0900 GMT).

Fasa kedua pelan itu menyeru kepada penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, pembentukan pasukan keselamatan terdiri daripada rakyat Palestin dan anggota tentera dari negara Arab dan Islam, serta perlucutan senjata Hamas.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan hampir 67,200 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak  serta menyebabkan kawasan itu tidak lagi sesuai didiami.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan