DUNIA > BERITA

Sekolah Agama Runtuh Di Jawa Timur, 10 Terkorban Operasi Menyelamat Diteruskan

03/10/2025 07:13 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 3 Okt (Bernama) -- Pasukan penyelamat Indonesia menemukan lima lagi mayat daripada runtuhan bangunan pondok pengajian Islam Al Khozyni di Sidoarjo, Jawa Timur pada Jumaat, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 10 orang.

Bangunan empat tingkat itu runtuh pada Isnin petang ketika pekerja sedang menuang konkrit di tingkat atas, menyebabkan pelajar dan pekerja binaan tertimbus di bawah runtuhan.

Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), mayat mangsa dibawa ke Hospital Polis Bhayangkara di Surabaya untuk proses pengecaman.

“Sekurang-kurangnya 113 orang terjejas akibat runtuhan ini, dengan 103 masih hidup,” kata penyelaras misi SAR, Yudhi Bramantyo dalam satu kenyataan.

Beliau berkata seramai 23 orang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan setakat ini dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.

Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan dinding konkrit yang runtuh serta memotong besi untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Sementara itu, seramai 54 orang masih hilang, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan