Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 6 Okt (Bernama) -- PT Freeport Indonesia telah menyelesaikan operasi selama 27 hari selepas menemukan kesemua tujuh pekerja yang terkorban dalam aliran lumpur dan tanah deras di lombong bawah tanah Grasberg di wilayah Papua.
Lima mangsa ditemukan pada 5 Okt di tapak Tembagapura di Mimika, manakala dua lagi ditemukan pada 20 Sept, menurut kenyataan bersama anak syarikat milik penuh syarikat perindustrian milik negara Indonesia, Mining Industry Indonesia (MIND ID), dan gergasi perlombongan Amerika Syarikat Freeport-McMoRan pada Isnin.
“Usaha mencari dan menyelamat terhalang oleh keadaan mencabar di dalam lombong bawah tanah serta kira-kira 800,000 tan lumpur dan tanah yang beralih,” kata Presiden Pengarah PT Freeport Indonesia Tony Wenas.
Mangsa terdiri daripada tiga rakyat Indonesia dan dua warga asing - masing-masing dari Afrika Selatan dan Chile.
Siasatan mengenai punca kejadian tanah runtuh itu masih dijalankan, dan PT Freeport Indonesia berikrar untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian serupa pada masa akan datang.
Insiden itu berlaku pada 8 Sept sekitar 10 malam waktu tempatan apabila aliran bahan dalam jumlah besar melanda kawasan operasi bawah tanah di tapak perlombongan yang terletak di kawasan pergunungan terpencil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial