Daripada Norshazlina Nor Azman
ASTANA (Kazakhstan), 2 Okt (Bernama) -- Forum Digital Bridge 2025 yang bermula Khamis (2 Okt) menampilkan peranan semakin berkembang Kazakhstan dalam inovasi digital, selain usahanya untuk muncul sebagai hab kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.
Menurut laman rasmi forum itu, acara tahunan tiga hari yang berlangsung hingga 4 Okt ini merupakan forum teknologi antarabangsa terbesar di Asia Tengah.
Forum ini, yang dianjurkan Kementerian Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital Kazakhstan bersama Astana Hub dan Akimat Astana, berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa EXPO dengan menghimpunkan pegawai kerajaan, pemimpin teknologi, pelabur dan syarikat pemula dari lebih 100 negara.
Antara tetamu terkemuka pada majlis pembukaan ialah Presiden Hungary Tamas Sulyok serta Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev.
Edisi tahun ini membawa tema “Generative Nation” yang mencerminkan aspirasi Kazakhstan untuk bergerak daripada pengguna kepada pengeluar penyelesaian digital.
Antara penceramah utama ialah Menteri AI Emiriah Arab Bersatu Omar Al Olama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas Telegram Pavel Durov, serta Arsen Tomsky, pengasas dan CEO inDrive, sebuah syarikat e-hailing global.
Tumpuan utama ialah pelancaran alem.ai, sebuah pusat AI antarabangsa yang ditubuhkan bagi menggalakkan penyelidikan, menyokong syarikat pemula dan memperluas kerjasama global dalam bidang AI.
Agenda turut menampilkan Generative Nation Pitch untuk projek pelajar dan penyelidikan, selain Astana Hub Battle yang menyaksikan lebih 100 syarikat pemula dari Asia Tengah bersaing di hadapan pelabur serantau dan antarabangsa.
Acara itu akan diakhiri dengan Digital Bridge Awards 2025, yang mengiktiraf pencapaian dalam penyelesaian AI, GovTech, EdTech dan inovasi berimpak tinggi.
Pameran dan “Startup Alley” pula mengetengahkan lebih 500 syarikat merentasi bidang teknologi kewangan, kesihatan, pertanian, keselamatan siber dan teknologi mampan.
Forum itu dijangka menarik 67,000 peserta, 1,000 penceramah dan 500 pelabur, sekali gus mengukuhkan usaha Kazakhstan untuk menjadikan Astana sebagai hab digital yang menghubungkan Eropah dan Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial