Daripada Norshazlina Nor Azman
ASTANA, 3 Okt (Bernama) -- Kazakhstan menyasarkan untuk menjadi sebuah negara digital sepenuhnya menjelang 2027 melalui pelaksanaan pelbagai pembaharuan merangkumi kerajaan, ekonomi dan perkhidmatan awam, kata Presiden Kassym-Jomart Tokayev.
Berucap pada forum antarabangsa Digital Bridge 2025 di ibu negara Kazakhstan pada Khamis, Tokayev menggariskan inisiatif utama termasuk pengenalan Kod Digital baharu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas serta pematuhan mandatori format digital bagi semua perkhidmatan awam baharu.
“Kami telah menetapkan matlamat yang jelas iaitu Kazakhstan mesti menjadi sebuah negara digital sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun. Membangunkan sebuah negara digital adalah pilihan strategik yang akan menentukan masa depan Kazakhstan.
“Ini adalah tugas yang sangat bercita-cita tinggi. Oleh itu, kami kini sedang giat berusaha mewujudkan ekosistem digital menyeluruh bagi negara ini,” katanya.
Presiden itu menyebut beberapa langkah besar yang telah dilaksanakan, termasuk penubuhan Kementerian Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital, pelancaran Majlis AI pertama Kazakhstan serta penggubalan undang-undang kebangsaan mengenai AI.
Langkah-langkah lain termasuk pelancaran Alem.ai, sebuah pusat antarabangsa untuk AI yang digelar sebagai “kilang idea dan inovasi,” serta Kod Digital yang bakal menjadi asas undang-undang bagi tadbir urus digital, pendidikan, penjagaan kesihatan dan ekonomi negara secara menyeluruh.
Tokayev menegaskan bahawa setiap perkhidmatan awam baharu mesti diwujudkan dalam format digital sejak awal, bagi memastikan data yang diberikan tidak akan diminta semula.
“Selain itu, semua akta kawal selia yang berkaitan interaksi antara kerajaan dan rakyat mesti melalui semakan digital mandatori sebelum diluluskan.
“Langkah ini akan mengurangkan kerenah birokrasi ke atas rakyat dan usahawan serta meningkatkan keyakinan mereka terhadap institusi kerajaan,” katanya.
Mengenai keselamatan siber, Tokayev menekankan keperluan “sistem pintar” untuk memerangi jenayah dalam talian, selain menegaskan institusi kewangan dan telekomunikasi mesti dipertanggungjawabkan atas perlindungan digital yang lemah.
Beliau turut menekankan bahawa AI mesti digunakan secara eksklusif untuk tujuan damai sambil memberi amaran bahawa penyalahgunaannya boleh menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan global.
“Penggunaannya, sama ada dalam bidang ketenteraan, serangan siber atau projek yang boleh mengancam kestabilan antarabangsa, tidak boleh dibenarkan,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2018, forum Digital Bridge telah menarik lebih 67,000 peserta, termasuk lebih 500 syarikat teknologi dan wakil dari lebih 100 negara. Forum itu menggariskan aspirasi Kazakhstan untuk menerajui pembangunan digital di Asia Tengah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial