DUNIA > BERITA

Palestin Kecam Serangan Israel Ke Atas Flotila Gaza

02/10/2025 06:24 PM

ISTANBUL, 2 Okt (Bernama-Anadolu) -- Palestin pada Khamis mengecam serangan Israel yang menyasarkan konvoi bantuan global ke Gaza di perairan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Negara Palestin mengecam serangan dan pencerobohan Israel terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) yang melanggar undang-undang dan norma antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), prinsip kemanusiaan lain serta hak asasi manusia para peserta di atas kapal,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Kementerian itu menyatakan kebimbangan serius Palestin mengenai keselamatan lebih 470 peserta, sambil menegaskan Israel “bertanggungjawab ke atas keselamatan dan kesejahteraan peserta konvoi ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang dikepung, kebuluran dan dibom di bawah ancaman genosid.”

Kenyataan itu mengulangi bahawa misi kemanusiaan global berkenaan merupakan inisiatif aman yang diterajui orang awam dan mempunyai hak laluan bebas di perairan antarabangsa.

Israel “tidak mempunyai sebarang kuasa atau kedaulatan ke atas perairan wilayah Palestin, yang meliputi perairan dari Semenanjung Gaza sehingga ke perairan antarabangsa,” kata kementerian itu, sambil menekankan pengisytiharan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa pendudukan Israel adalah tidak sah.

Palestin menyeru masyarakat antarabangsa agar memberikan perlindungan kepada peserta GSF yang berani.

Tentera laut Israel telah menyerang 21 kapal GSF sejak lewat Rabu dan menahan sekurang-kurangnya 317 aktivis, menurut penjejak rasmi flotila.

Aktivis yang ditahan itu dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel, dari situ mereka akan diusir ke Eropah, menurut Kementerian Luar Israel.

Flotila itu yang sebahagian besarnya membawa muatan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, berlayar beberapa hari lalu untuk memecahkan sekatan Israel.

Ini menandakan kali pertama dalam beberapa tahun puluhan kapal berlayar bersama menuju Gaza dan berjaya menghampiri wilayah itu sedekat ini, yyang telah berada di bawah sekatan Israel selama kira-kira 18 tahun.

-- BERNAMA-ANADOLU


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan