KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua aktivis, petugas kemanusiaan dan kru yang berada di atas Global Sumud Flotila (GSF), termasuk rakyat Malaysia serta kapal-kapal mereka.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra turut menuntut penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
Sehingga berita ini ditulis, seramai 12 rakyat Malaysia dilaporkan telah ditahan oleh tentera Israel dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).
Mereka ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang berada di atas kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); serta penyanyi Zizi Kirana (Huga).
Turut ditahan ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Sumud Nusantara ialah konvoi rakyat dari Malaysia bersama sembilan negara lain yang bertujuan memecahkan sekatan Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan.
Kementerian Luar berkata Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap misi aman berkenaan.
“Tindakan tanpa provokasi dan sembarangan ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
“Pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” tambah Wisma Putra.
Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan tindakan Israel yang bebas daripada sebarang hukuman.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.
“Malaysia kekal teguh menyokong semua usaha murni bagi mencapai penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” tegas Wisma Putra.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas dan mengugut GSF, sambil menyatakan tindakan itu menyasarkan orang awam tidak bersenjata serta kapal yang berada dalam misi kemanusiaan yang sah dan aman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial