SEPANG, 2 Okt (Bernama) -- Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) telah mengeluarkan Amaran Peringkat Tinggi mengenai cubaan memintas konvoi Global Sumud Flotila (GSF) oleh beberapa kapal dipercayai milik rejim Zionis, yang membentuk formasi bagi menyekat laluan misi kemanusiaan menuju Gaza.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata SNCC telah menerima 10 laporan mengenai perkara itu daripada kapal yang membawa aktivis Malaysia.
“Semua dimohon untuk mengikuti perkembangan sekarang di tracker dan siaran langsung CCTV,” katanya menerusi media sosial SNCC.
Difahamkan Kapal Alma yang membawa tiga rakyat Malaysia iaitu Sul Aidil Sudi, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dan Iylia Balqis Suhaimi serta seorang aktivis kemanusiaan dan alam sekitar Greta Thunberg itu telah mengeluarkan amaran kecemasan warna kuning pada 7.33 malam waktu Gaza.
Seramai 23 aktivis Malaysia berada dalam misi pelayaran kemanusiaan berkenaan.
Berdasarkan rakaman siaran langsung SNCC, kelihatan peserta yang berada di atas beberapa kapal memakai jaket keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Konvoi itu, yang telah melepasi garis Zon Merah R3, kini menuju Zon Merah R2 iaitu kawasan berisiko tinggi untuk dipintas oleh tentera Israel.
Kapal misi GSF, yang membawa bekalan kemanusiaan dan aktivis antarabangsa untuk membantu penduduk Gaza, dijangka memasuki Zon Merah R2 pada 4.08 pagi ini (waktu Malaysia) atau 11.08 malam waktu Gaza, sekiranya tiada apa-apa halangan.
Sementara itu, lebih 10 pengamal media berkumpul di SNCC di sini bagi melaporkan perkembangan misi berkenaan yang dijangka tiba di pesisiran pantai Gaza pada 6.32 petang (waktu Malaysia) atau 1.32 petang waktu Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial