NEW YORK, 29 Sept (Bernama-dpa) -- Datuk Bandar New York Eric Adams menarik diri daripada pencalonan semula jawatannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Walaupun banyak yang telah kita capai, saya tidak dapat meneruskan kempen pemilihan semula,” kata Adams yang kini bertanding sebagai calon bebas selepas keluar daripada Parti Demokrat menerusi satu video yang disiarkan di platform X pada Ahad.
Beliau berkata keputusannya dipengaruhi spekulasi media mengenai masa depannya.
Selain itu, Adams menuduh suruhanjaya kewangan bertanggungjawab menyekat dana, sekali gus menyukarkan beliau untuk berkempen.
Pada April lalu, Adams mengumumkan pencalonannya bagi pilihan raya November selepas tuduhan rasuah terhadapnya digugurkan dan tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Adams, yang memegang jawatan sejak 2022 sebelum ini didakwa di peringkat persekutuan sebagai ketua bandar terbesar AS pertama yang berdepan tuduhan rasuah.
Selepas kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden, Adams mendekati beliau dengan kerap memuji secara terbuka, berlepas ke Florida untuk bertemu Trump, malah tampil dalam satu daripada rancangan televisyen kegemaran presiden itu.
Tidak lama selepas itu, Trump mendesak supaya tuduhan terhadap Adams digugurkan. Bagaimanapun, langkah mendekati Trump menyebabkan beliau hilang sokongan ramai penduduk New York.
Peluang Adams untuk dipilih semula di kubu kuat liberal seperti New York juga dianggap tipis selepas skandal berkenaan.
Antara calon lain yang masih bersaing ialah calon berhaluan kiri Zohran Mamdani, bekas gabenor New York Andrew Cuomo, dan calon Republikan Curtis Sliwa.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial