DUNIA > BERITA

Bantuan Kemanusiaan Pertama China Untuk Mangsa Banjir Selamat Tiba Di Pakistan

29/09/2025 04:01 PM

ISLAMABAD 29 Sept (Bernama-CMG) -- Bantuan kemanusiaan kumpulan pertama dari kerajaan China untuk mangsa banjir di Pakistan tiba di Pangkalan Tentera Udara Nur Khan, Rawalpindi, berhampiran Islamabad, pada pagi Ahad dengan menggunakan dua pesawat pengangkut Y-20 milik Tentera Udara China.

Majlis penyerahan barang bantuan yang merangkumi 300 khemah dan 9,000 kain “sakhlat” itu disaksikan Menteri Persekutuan Pakistan bagi Hal Ehwal Negeri dan Wilayah Sempadan Engr Amir Muqam, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Bencana Kebangsaaan Pakistan Inam Haider Malik, dan Duta Besar China ke Pakistan Jiang Zaidong.

Muqam berkata sejak Jun lalu, hujan lebat yang berlarutan telah mencetuskan banjir besar di sebahagian besar wilayah Pakistan, mengorbankan banyak nyawa, mencederakan ramai penduduk serta memusnahkan infrastruktur, kediaman dan tanaman.

Muqam turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat China atas sokongan kepada mangsa banjir di Pakistan.  

Sementara itu, Malik menyatakan sumbangan daripada China akan memainkan peranan penting dalam misi menyelamat dan bantuan.

Beliau menegaskan kerajaan Pakistan akan memastikan bantuan itu diagihkan tepat pada masanya kepada mangsa yang memerlukan.

Jiang Zaidong pula menegaskan, bantuan yang dihulurkan oleh pihak China merupakan tafsiran yang jelas tentang semangat komuniti berkongsi nasib.

Beliau yakin mangsa yang terkesan mampu mengatasi kesan bencana itu serta membina semula kampung halaman mereka dengan kepimpinan kerajaan Pakistan dan sokongan masyarakat pelbagai lapisan.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan