Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 24 Sept (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinamakan sebagai lapangan terbang paling terhubung di Asia Pasifik serta menduduki tempat keempat di peringkat global dalam laporan “Megahubs 2025” yang dikeluarkan pada Rabu.
Laporan yang diterbitkan OAG, iaitu platform data utama industri perjalanan global turut meletakkan KLIA di tangga pertama dalam kategori Hab Mega Lapangan Terbang Syarikat Penerbangan Kos Rendah (LCC).
“Kejayaan berganda Kuala Lumpur sebagai hab global utama dan hab mega kos rendah terkemuka dunia menyerlahkan keupayaan unik rantau ini untuk memenuhi keperluan semua segmen pelancong,” kata Ketua OAG Asia Pasifik , Mayur Patel dalam satu kenyataan.
Lapangan Terbang Heathrow (LHR), Lapangan Terbang Istanbul (IST) dan Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol (AMS) melengkapkan kedudukan tiga teratas Hab Mega Lapangan Terbang Global.
Memasuki tahun ke-10, laporan "Megahubs" ini menonjolkan kekuatan sektor penerbangan Asia Pasifik yang semakin berkembang, dengan tiga lapangan terbang berada dalam senarai 10 Teratas Dunia.
Selain KLIA, dua lagi lapangan terbang Asia Pasifik yang tersenarai dalam 10 Teratas Dunia ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (ICN) di tempat keenam dan Lapangan Terbang Haneda (HND) di tempat kesembilan.
Lapangan Terbang Changi Singapura (SIN) berada di tempat ke-11.
“Rantau Asia Pasifik telah mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa global dalam bidang penerbangan, dengan mengimbangi antara hab perkhidmatan penuh bertaraf dunia dan sambungan dinamik kos rendah,” kata Patel.
OAG turut menyatakan Asia Pasifik mendominasi penerbangan kos rendah, dengan 16 daripada 25 hab mega LCC teratas dunia berpangkalan di rantau ini.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKG) mencatat peningkatan terbesar dalam senarai LCC tahun ini, melonjak 20 anak tangga ke tempat keempat, dipacu oleh HK Express milik Cathay Pacific.
Laporan "Megahubs 2025 OAG" menilai tahap kesalinghubungan lapangan terbang antarabangsa utama dunia — di peringkat global dan serantau — serta pintu masuk ke pasaran domestik, selain menyediakan platform perbandingan.
Kedudukan unik ini dihasilkan berdasarkan perbandingan jumlah sambungan berjadual ke dan dari penerbangan antarabangsa dengan jumlah destinasi yang disediakan dari sesuatu lapangan terbang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial