DUNIA > BERITA

Indonesia Pantau Ketegangan Thailand-Kemboja, Sokong Dialog Damai

25/07/2025 01:07 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 25 Julai (Bernama) -- Indonesia sedang memantau dengan teliti perkembangan terkini di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu, kata Kementerian Luar pada Jumaat.

“Kami yakin kedua-dua negara jiran itu akan segera kembali kepada kaedah penyelesaian secara damai untuk menyelesaikan pertikaian mereka selaras dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform X.

Jakarta turut memaklumkan bahawa pihaknya memberi perhatian terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat Indonesia di kawasan terjejas.

Sementara itu, Kedutaan Indonesia di Phnom Penh, dalam nasihatnya menggesa rakyatnya di Kemboja, terutamanya mereka yang berada di wilayah Oddar Meanchey dan Preah Vihear, untuk bertenang dan sentiasa berwaspada, susulan laporan pertempuran sempadan yang semakin meningkat pada Khamis.

Rakyat Indonesiaa juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui sumber yang dipercayai dan mendaftar di platform "Peduli WNI" (WNI-warganegara Indonesia) bagi mengekalkan komunikasi dengan pegawai kedutaan.

Dalam nasihat berasingan, Kedutaan Indonesia di Bangkok mengeluarkan amaran serupa kepada rakyatnya di wilayah Surin, Buriram, Si Sa Ket, Sa Kaeo, Trat dan Ubon Ratchathani di Thailand dan menggesa mereka untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Sekurang-kurangnya 15 rakyat Indonesia kini berdaftar di wilayah sempadan Thailand iaitu Trat, Sa Kaeo dan Ubon Ratchathani, menurut kedutaan itu, sambil menambah bahawa  setakat ini tiada kecederaan atau kesan langsung dilaporkan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan