DUNIA > BERITA

Kerajaan Thai Arah Kesiagaan 24 Jam Susulan Ribut Tropika Wipha

23/07/2025 10:35 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Thailand mengarahkan semua pihak berkuasa wilayah untuk mengekalkan kewaspadaan sepanjang masa di kawasan berisiko tinggi dan memastikan pemindahan segera kumpulan rentan susulan kesan Ribut Tropika Wipha.

Pemangku Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Phumtham Wechayachai berkata Kementerian Dalam Negeri menekankan kepentingan pemantauan bencana, sistem amaran awal serta bantuan kepada komuniti yang terjejas.

Dengan ribut itu kini menjejaskan banyak kawasan di Thailand, Phumtham melahirkan kebimbangan terhadap penduduk di zon berisiko dan mengarahkan semua agensi berkaitan supaya berkoordinasi rapat serta memantau situasi secara berterusan.

“Kali ini, semua agensi berkaitan telah menunjukkan tahap kesiapsiagaan dalam pemantauan dan pencegahan bencana, serta penyampaian bantuan segera kepada orang awam. Usaha Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) meningkatkan sistem amaran menerusi telefon bimbit (Cell Broadcast) dan penempatan awal jentera bantuan berskala besar di kawasan berisiko amat dipuji,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik DDPM menerusi akaun rasmi X agensi itu pada Rabu.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pencegahan dan Mitigasi Bencana (NCDPM) yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Teerarat Samrejvanich, Ketua Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri Anusit Samphantharat dan Ketua Pengarah DDPM Phasakorn Boonyalak.

Phumtham turut mengarahkan semua pihak berkuasa wilayah agar kekal berwaspada 24 jam bagi memantau, mencegah dan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan bencana.

“Saya amat menghargai tahap kesiapsiagaan dan kerjasama semua agensi. Sekiranya bencana berlaku, persediaan ini akan membantu mengurangkan kerosakan dan memastikan keselamatan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Phasakorn berkata DDPM telah bekerjasama rapat dengan pelbagai sektor bagi menghadapi risiko banjir dan tanah runtuh, serta terus memantau kesan Ribut Wipha.

Beliau menambah bahawa jabatan itu telah menubuhkan Pusat Kawalan Hadapan di Chiang Mai untuk berkoordinasi secara langsung dengan wilayah terjejas di utara.

“Dari segi jentera, kami telah menggerakkan peralatan berskala besar dari pusat wilayah DDPM untuk menyokong operasi di utara, dengan jentera telah pun ditempatkan di zon berisiko. Kami juga telah menempatkan sebuah helikopter KA-32 dan pasukan Guardian di pangkalan udara Chiang Mai bagi persediaan operasi menyelamat, khususnya di kawasan sukar diakses,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan