DUNIA > BERITA

Thailand Siap Sedia Hadapi Ribut Tropika Wipha

23/07/2025 03:33 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 23 Julai (Bernama) -- Thailand kini bersiap sedia menghadapi ribut tropika Wipha yang diramal merentasi wilayah utara negara itu dalam beberapa hari akan datang.

Timbalan Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Thailand, Anukool Pruksanusak berkata orang ramai diingatkan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan akibat cuaca buruk, termasuk penutupan sekolah serta-merta di kawasan yang terjejas.

“Kerajaan menekankan kepentingan keselamatan orang ramai. Sila bersedia menghadapi situasi ini, ambil perhatian terhadap amaran yang dikeluarkan dan ikuti arahan agensi kerajaan bagi mengurangkan impak serta mencegah sebarang kerugian,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Thailand pada Rabu.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian diarahkan untuk mengambil langkah mengurangkan kesan terhadap sektor pertanian.

Anukool turut memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran mengenai ribut tropika Wipha yang dijangka melemah.

Beliau menegaskan bahawa ribut itu dijangka membawa hujan lebat ke banyak kawasan di Thailand, terutamanya di wilayah utara, bahagian timur laut, kawasan barat wilayah tengah serta timur negara itu, dengan hujan berterusan dijangka sehingga 24 Julai.

“Kerajaan menyeru penduduk di kawasan terjejas agar berwaspada terhadap risiko hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan air sungai, terutama di kawasan kaki bukit, berhampiran saliran air serta kawasan rendah,” katanya.

Setakat Selasa, ribut tropika Wipha telah mengakibatkan hujan lebat dan banjir di Filipina, menyebabkan lima kematian dan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.

Sejak 20 Julai, hujan lebat yang dikaitkan dengan monsun barat daya telah menjejaskan sebahagian besar kawasan di Luzon, Visayas dan Mindanao, termasuk Metro Manila.

Di Vietnam pula, ribut itu dijangka membawa hujan lebat ke kawasan utara, dengan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran awal terhadap risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan rendah dan pergunungan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan