DUNIA > BERITA

Tiada Rakyat Malaysia Terjejas Akibat Taufan Wipha Di Filipina, Vietnam

22/07/2025 10:16 PM

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat Taufan Wipha di Filipina dan Vietnam, menurut pengesahan Kementerian Luar pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, kementerian menasihati rakyat Malaysia di kedua-dua negara itu agar terus berwaspada, mematuhi semua arahan pihak berkuasa tempatan dan mengelakkan kawasan berisiko tinggi.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan memberikan makluman dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

 Taufan Wipha, yang kini menurun status kepada ribut tropika teruk, telah menyebabkan hujan lebat dan banjir, mengorbankan lima nyawa serta memaksa ribuan penduduk berpindah di Filipina.

Sejak 20 Julai, hujan lebat yang dikaitkan dengan monsun barat daya telah menjejaskan kawasan Luzon, Visayas dan sebahagian Mindanao, termasuk Metro Manila.

Di Vietnam, taufan itu dijangka membawa hujan sehingga 500 milimeter ke wilayah utara, dengan pihak berkuasa tempatan memberi amaran mengenai risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan rendah dan pergunungan, menurut kenyataan itu lagi.

Kementerian turut menggalakkan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dengan Kedutaan Malaysia terdekat supaya berbuat demikian bagi memudahkan penyampaian maklumat serta bantuan konsular.

Untuk bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Manila boleh dihubungi di talian +63 2 8662 8200 / 8662 8201 / 8662 8202 atau e-mel ke mwmanila@kln.gov.my / infomanila@kln.gov.my.

Di Vietnam, Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi boleh dihubungi di +84 24 3734 3849 / 3734 3820 / 3734 3832 atau e-mel ke mwhanoi@kln.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan