DUNIA > BERITA

Pengalaman Urbanisasi China Boleh Ditimba Negara Afrika - Pengarah Eksekutif PBB-Habitat

21/07/2025 05:29 PM

NAIROBI, 21 Julai (Bernama-CMG) -- Pengalaman China yang berjaya membawa 800 juta rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan menempuh jalan urbanisasi boleh ditimba negara-negara Afrika yang sedang mengalami transformasi pembandaran.

Pandangan itu disuarakan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB-Habitat) Anaclaudia Marinheiro Centeno Rossbach.

Rossbach berkata kira-kira 800 juta penduduk di benua Afrika dan Amerika Latin dijangka berpindah ke bandar dalam tempoh 25 tahun akan datang, sementara banyak negara Asia masih menghadapi masalah kemiskinan.

Justeru beliau berpendapat bandar memainkan peranan semakin signifikan dalam usaha membasmi kemiskinan.

"Ia bukan sekadar dari segi penyediaan tempat kediaman, tetapi juga memastikan orang ramai dapat memperoleh pelbagai peluang seperti pendidikan dan pekerjaan, selain menikmati perkhidmatan perubatan," katanya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).

Beliau berkata urbanisasi juga bermakna menyusun ruang di bandar supaya orang ramai dapat hidup bersama secara harmoni, mendapat akses kepada pelbagai perkhidmatan serta menikmati kemudahan untuk aktiviti kebudayaan, bersantai, beriadah dan sebagainya.

Rossbach turut memuji teknologi “Bandar Span” yang digunakan di daerah Binjiang, Shanghai bagi meningkatkan keupayaan bandar dalam mencegah bencana banjir.

Beliau berkata PBB-Habitat sedang berusaha memperkenalkan teknologi “Bandar Span” kepada bandar-bandar Brazil yang berdepan ancaman banjir, di samping mengkaji pengaplikasian teknologi berkenaan di Nairobi, ibu negara Kenya.

– BERNAMA-CMG

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan