DUNIA > BERITA

ASEAN Kekal Sebagai Mekanisme Utama Penglibatan AS Di Indo-Pasifik – Rubio

10/07/2025 09:53 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio menegaskan komitmen berterusan Washington terhadap ASEAN dan menyifatkan blok serantau itu sebagai "mekanisme utama" dalam penglibatan AS di rantau Indo-Pasifik.

Beliau menegaskan peranan kepusatan ASEAN dalam dasar luar dan strategi serantau AS, sambil menyifatkan bahawa rantau ini tidak boleh dipinggirkan di tengah cabaran global yang sedang melanda.

“Abad ini dan seterusnya – kisah 50 tahun akan datang sebahagian besarnya akan dilakar di sini,” katanya, merujuk kepada potensi ekonomi dan peranan belia serantau sebagai pemacu utama pertumbuhan masa depan.

Rubio berkata demikian dalam ucapan pembukaan semasa Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN Bersama AS, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan pada Selasa.

Sesi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn.

Rubio turut menekankan kepentingan ASEAN sebagai platform utama dialog dan kerjasama dengan AS.

“Kami menganggap ia (ASEAN) sebagai kumpulan negara berdaulat dan merdeka, yang menjalin hubungan dan kerjasama jangka panjang dengan kami - hubungan yang akan terus diperkukuh tanpa memerlukan kelulusan mana-mana pihak lain di rantau ini atau dunia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa AS kekal komited terhadap Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, selamat dan makmur, sejajar dengan keutamaan nasional Washington.

“Amerika Syarikat merupakan rakan yang komited kepada ASEAN. Blok ini menjadi teras kepada kerangka serantau yang membentuk dinamik ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik usaha untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS, yang mencerminkan dekad-dekad kerjasama dan matlamat yang dikongsi bersama.

Sementara itu, Sokhonn dalam ucapannya berkata, hubungan ASEAN-AS kekal utuh dan penting meskipun berdepan ketidaktentuan global dan cabaran rentas sempadan yang semakin kompleks.

Beliau menegaskan pemerkasaan hubungan itu kepada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022 telah membawa kemajuan ketara dalam bidang-bidang kerjasama utama.

“Usaha bersama ini mencerminkan keyakinan kolektif kita terhadap masa depan jangka panjang bagi perkongsian strategik ini,” katanya.

ASEAN dan AS menjalin hubungan rasmi pada 1977, dinaik taraf sebagai Perkongsian Strategik pada 2015 dan menjadi Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan