SEOUL, 10 Julai (Bernama-Xinhua) -- Sebuah mahkamah di Seoul pada Khamis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol berhubung dekri undang-undang tentera pada Disember lepas, menjadikannya penahanan kedua beliau berkaitan kes itu, lapor Xinhua memetik agensi berita Yonhap.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengeluarkan waran itu selepas sesi pendengaran berikutan permohonan oleh Peguam Khas Cho Eun-suk.
Yoon menghadapi lima pertuduhan, termasuk melanggar hak anggota Kabinet dengan mengecualikan sebahagian besar mereka daripada satu mesyuarat penting sebelum pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis.
Beliau juga dituduh memalsukan dokumen undang-undang tentera selepas pengisytiharan itu sebelum ia ditandatangani oleh Perdana Menteri ketika itu Han Duck-soo dan Menteri Pertahanan ketika itu Kim Yong-hyun.
Pertuduhan lain termasuk mengarahkan penyebaran kenyataan palsu kepada media asing, mengarahkan pembantu menghalang penahanannya pada Januari, serta mengarahkan pemadaman rekod panggilan daripada “telefon selamat”.
Yoon menafikan semua pertuduhan semasa sesi pendengaran itu. Beliau kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan ibu negara.
Bekas presiden itu pertama kali ditahan pada Januari, namun dibebaskan pada Mac selepas Mahkamah Daerah Pusat Seoul membatalkan penahanan berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial