SEJONG, 6 Julai (Bernama-Yonhap) -- Bilangan pemilik perniagaan yang menutup kedai mereka melepasi paras sejuta buat kali pertama dalam sejarah pada tahun lepas, dengan sektor runcit dan makanan menyumbang hampir separuh daripada jumlah itu, menurut data yang dikeluarkan pada Ahad.
Menurut data yang dikumpulkan oleh Perkhidmatan Cukai Kebangsaan, sebanyak 1,008,282 perniagaan individu dan korporat telah memfailkan penutupan pada 2024, meningkat 21,795 berbanding tahun sebelumnya.
Ia merupakan kali pertama penutupan perniagaan melepasi angka sejuta sejak penyimpanan rekod bermula pada 1995, lapor Agensi Berita Yonhap.
Agensi cukai itu memaklumkan penutupan perniagaan telah meningkat sejak 2023, sebahagiannya mengaitkan lonjakan itu kepada apa yang digelar sebagai “kemerosotan terkumpul” semasa pandemik COVID-19 dan peningkatan kadar delinkuensi akibat kadar faedah yang tinggi.
Kadar penutupan perniagaan juga meningkat sejak 2023, mencecah 9.04 peratus pada tahun lepas, meningkat sedikit daripada 9.02 peratus pada tahun sebelumnya, menurut agensi itu.
Punca paling banyak dilaporkan bagi penutupan perniagaan adalah jualan yang merosot, yang menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah keseluruhan.
Perniagaan runcit paling terjejas akibat kemelesetan ekonomi baru-baru ini, menyumbang 29.7 peratus daripada jumlah penutupan perniagaan, diikuti perniagaan restoran pada 15.2 peratus, hartanah (11.1 peratus) serta syarikat pemborong dan pembrokeran komodit pada 7.1 peratus.
Kadar penutupan perniagaan bagi perniagaan runcit ialah 16.78 peratus, diikuti perniagaan restoran (15.82 peratus) dan perkhidmatan peribadi (14.11 peratus).
“Kadar faedah dan inflasi yang kekal tinggi telah mengurangkan pendapatan sebenar, sekali gus membawa kepada penurunan jualan runcit dan perbelanjaan di kedai makan,” kata Ketua Penyelidikan Ekonomi di Institut Ekonomi dan Industri Korea, Kim Kwang-seok.
-- BERNAMA-YONHAP
TAG: COVID-19, pemilik perniagaan, makanan, runcit, borong
RMI VMP MZA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial