DUNIA > BERITA

Pemimpin Tertinggi Iran Buat Penampilan Pertama Sejak Konflik Bersenjata Dengan Israel

06/07/2025 05:37 PM

TEHRAN/ISTANBUL, 6 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei muncul secara terbuka buat kali pertama pada Sabtu sejak berakhirnya konflik bersenjata dengan Israel, apabila beliau menghadiri majlis Hari Asyura di Tehran, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).

Khamenei sebelum ini tidak kelihatan dalam tiga malam awal sambutan Muharam – permulaan tahun baharu Hijrah – yang diadakan di kediamannya di Jalan Palestine, satu kelaziman tahunan yang kebiasaannya disertai beliau.

Rakaman yang dimuat naik oleh akaun rasmi Pemimpin Tertinggi di platform X menunjukkan kehadiran Khamenei disambut oleh para hadirin ketika beliau melangkah masuk ke dewan utama. 

Penampilan beliau dibuat selepas konflik berdarah selama 12 hari antara Iran dan Israel bulan lalu, ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Tel Aviv dilaporkan mengeluarkan ancaman untuk membunuh Khamenei.

Sepanjang tempoh serangan terhadap Iran, Khamenei tetap tampil menyampaikan beberapa ucapan umum. 

Konflik Iran-Israel tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas kemudahan tentera, nuklear dan awam di Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 935 orang.

Kementerian Kesihatan Iran melaporkan seramai 5,332 orang turut cedera dalam serangan itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa sasaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan lebih 3,400 yang lain, menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti Ibrani di Baitulmaqdis.

Amerika Syarikat kemudiannya membedil beberapa fasiliti nuklear utama Iran, termasuk di Fordo, Natanz dan Isfahan, yang memburukkan lagi ketegangan.

Konflik berakhir dengan pelaksanaan gencatan senjata pada 24 Jun lalu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan