DUNIA > BERITA

ASEAN Sambut Baik Gencatan Senjata Israel-Iran, Gesa Hormati Perjanjian

26/06/2025 08:43 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Menteri-menteri luar ASEAN menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Iran, sambil menggesa semua pihak mematuhi perjanjian itu dan mengelak berulangnya konflik di Timur Tengah.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, para menteri menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Timur Tengah sejak 13 Jun.

Gencatan senjata itu mula berkuat kuasa pada 24 Jun.

“Kami menegaskan semula kewajipan semua pihak untuk menyelesaikan perbezaan melalui cara aman serta menghormati kedaulatan dan integriti wilayah semua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami seterusnya mengulangi kewajipan untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam dalam konflik bersenjata sebagaimana termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, para menteri menyatakan sokongan ASEAN terhadap usaha berterusan, termasuk yang diketuai PBB bagi meredakan ketegangan dan menggalakkan penglibatan secara konstruktif dalam kalangan semua pihak terlibat.

“Kami turut menegaskan semula komitmen bersama kami untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada warga ASEAN selaras dengan Deklarasi ASEAN mengenai Garis Panduan Bantuan Konsular oleh Misi Negara Anggota ASEAN di Negara Ketiga kepada Rakyat Negara Anggota ASEAN yang Lain.

“Ini termasuk Garis Panduan bagi Penyediaan Bantuan Kecemasan oleh Misi ASEAN di Negara Ketiga kepada Rakyat Negara Anggota ASEAN dalam Situasi Krisis,” menurut kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan