KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu siri lawatan ke tiga buah negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil bermula 1 Julai ini.
Siri lawatan Perdana Menteri kali ini yang bermula dengan lawatan kerja tiga hari ke Itali mulai Selasa adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.
Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Zahid Rastam berkata lawatan pertama Perdana Menteri ke Itali ini adalah atas jemputan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
“Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali yang mencakupi pelbagai bidang. Lawatan ini turut memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam meneroka inisiatif-inisiatif baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta kerjasama antaranya dalam sektor pertahanan, tenaga dan sektor agro-komoditi,” katanya kepada pemberita di Malaysia menerusi platform Google Meet dari Rom, pada Isnin.
Menurut Kementerian Luar, di Brazil Perdana Menteri akan menghadiri sidang kemuncak BRICS di Rio de Janeiro sebagai negara rakan dalam pakatan yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Indonesia dan Iran.
Zahid berkata dalam lawatan rasmi ke Itali, Perdana Menteri akan diiringi oleh lima menteri Kabinet iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, katanya.
Menurut Zahid, turut mengiringi Perdana Menteri ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkaitan serta satu delegasi korporat melibatkan 13 syarikat daripada pelbagai sektor dari Malaysia.
Beliau berkata, Anwar dan delegasi dijangka tiba di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom sekitar 7.50 malam pada Selasa, 1 Julai dan beliau dijangka menghoskan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Itali pada malam yang sama.
Sementara itu menurut kenyataan Kementerian Luar, Perdana Menteri dijadual merasmikan "Malaysia, Italy Economic Partnership Roundtable", pada 2 Julai, yang akan dihadiri oleh pemimpin industri bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan dua hala.
Zahid sebelum itu berkata berkata mesyuarat meja bulat itu akan melibatkan lebih daripada 50 syarikat, persatuan dan industri dari Malaysia dan Itali bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan dua hala.
Pada hari yang sama Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Imam Yahya Pallavicini, Naib Presiden Comunita Religiosa Islamica Italiana (COREIS) dan Abdellah Redouane, Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali dan Masjid Rom.
Menurut Zahid, pada Khamis, 3 Julai, Perdana Menteri akan diwawancara oleh Rai News 24, rangkaian berita televisyen tempatan yang utama dan berpengaruh di Itali.
Dalam sesi temu ramah itu, Perdana Menteri dijangka ditemu bual mengenai hubungan dua hala di antara Malaysia dan Itali, perdagangan dan pelaburan serta berkongsi mengenai Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, katanya.
Beliau berkata pada tengah hari 3 Julai, Anwar dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Itali, Meloni di Palazzo Chigi, Rom.
Menurut kenyataan itu, pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga.
Kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali, Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan situasi di Timur Tengah.
Perdana Menteri juga akan menggariskan keutamaan Malaysia semasa Kepengerusian ASEAN 2025 serta usaha ASEAN dalam mendepani cabaran serantau dan global.
Beliau berkata lawatan Perdana Menteri ke Itali adalah sangat signifikan dalam mencerminkan hubungan akrab antara kedua-dua negara.
Dalam lawatan ini, kedua-dua pemimpin akan menegaskan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala melalui kerjasama yang lebih komprehensif.
Beliau berkata lawatan ini akan memberi mandat dan momentum untuk mempertingkatkan hubungan dua hala Malaysia dan Itali yang lebih strategik pada masa hadapan.
Secara keseluruhan lawatan ini akan menjadi wadah untuk Perdana Menteri mengetengahkan dasar luar Malaysia terutama pendirian negara dalam isu serantau dan global di pentas antarabangsa serta fokus kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada masa ini, kata Zahid.
Menurut kenyataan kementerian, hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali yang terjalin sekian lama adalah kukuh dan saling memanfaatkan, didukung oleh pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang berterusan serta kesalinghubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan sebanyak dua peratus kepada RM14.61 bilion (US$3.18 bilion) berbanding pada 2023.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM6.50 bilion (US$1.48 bilion) berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok berkenaan bagi 2024, menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri akan berlepas ke Perancis bagi mengadakan lawatan rasmi pada 3 dan 4 Julai setelah tamat lawatan di Itali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial