DUNIA > BERITA

UK Buka Lebih Banyak Peluang Bagi Pelajar Malaysia Susulan Dasar Baharu AS

26/06/2025 04:39 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- United Kingdom (UK) membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Malaysia dengan mengukuhkan kerjasama pendidikan dan menyediakan pilihan akademik yang disesuaikan mengikut keperluan semasa pelajar negara ini.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma berkata UK bersedia menerima lebih ramai pelajar Malaysia susulan perubahan trend global pengajian, ketika Amerika Syarikat (AS) mengetatkan dasar visanya.

“Kami mahu lebih ramai pelajar Malaysia di UK. Kami juga mahu lebih banyak universiti UK hadir di Malaysia.

“Kami mahu memastikan hubungan pendidikan ini terus diperkukuh dan, yang paling penting, benar-benar memenuhi keperluan masyarakat di sini,” katanya kepada Bernama selepas muncul dalam program The Diplomatic Dispatch terbitan Bernama TV di sini pada Khamis.

Sharma berkata UK, yang terkenal dengan kecemerlangan akademik dan kelayakan yang diiktiraf di peringkat global, kekal sebagai destinasi pilihan untuk pendidikan tinggi dan bersedia menerima pelajar yang mungkin mempertimbang semula hasrat ke AS atau negara lain berikutan perkembangan terkini.

“Kami sangat gembira untuk menerima lebih ramai pelajar Malaysia sekiranya mereka memilih untuk datang kerana apa yang sedang berlaku di AS atau di tempat lain di dunia,” katanya.

Menurut data daripada UK Higher Education Statistics Agency (HESA) bagi tahun akademik 2023/24, seramai 12,760 pelajar Malaysia telah mendaftar di institusi pengajian tinggi UK, sekali gus menempatkan Malaysia dalam kelompok 10 negara sumber bukan EU.

Mengimbas perbincangan terbarunya dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Sharma memaklumkan mereka sedang meneroka kerjasama lebih mendalam dan memudahkan akses pelajar Malaysia ke institusi UK.

“Kami berbincang mengenai bagaimana kami boleh bekerjasama lebih erat untuk memastikan pelajar Malaysia dapat memanfaatkan peluang di UK,” katanya.

MARA telah menggantung sementara penempatan pelajar tajaan agensi itu ke AS tahun ini berikutan perubahan dasar visa pelajar yang diperkenalkan oleh pentadbiran AS.

Asyraf Wajdi berkata MARA menawarkan penempatan alternatif di UK, Australia, New Zealand, Jepun, China dan institusi tempatan bagi memastikan pelajar tidak terjejas akibat perubahan dasar itu.

Langkah itu diambil susulan arahan terbaharu pentadbiran Presiden AS Donald Trump yang mengetatkan prosedur visa pelajar antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan