DUNIA > BERITA

China Tambah Baik Iklim Perniagaan, Alu-alukan Pelabur Asing - PM Li Qiang

26/06/2025 01:41 PM

TIANJIN, 26 Jun (Bernama-CMG) -- Perdana Menteri China Li Qiang berkata China akan terus proaktif berintegrasi dengan pasaran global serta memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

Pada masa sama, China akan menambah baik iklim perniagaan dan mengalu-alukan lebih banyak perusahaan asing melabur di negara ini.

Li berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Juara Baharu Ke-16 (AMNC), yang turut dikenali sebagai Forum Davos Musim Panas di sini pada Rabu.

Beliau turut menyeru semua pihak agar mempertahankan globalisasi ekonomi yang inklusif demi manfaat bersama, serta mengekalkan komitmen terhadap perdagangan bebas dan multilateralisme bagi memastikan pertumbuhan ekonomi global yang mampan.

Dalam ucapannya, Li turut menekankan bahawa sebarang pertikaian antara negara perlu diselesaikan melalui rundingan secara adil dan saksama.

"China bersedia bekerjasama dengan pelbagai negara untuk mengukuhkan asas kepercayaan dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

"Kita juga perlu melindungi kepentingan bersama menerusi kerjasama saling menguntungkan.

“China akan terus aktif mengambil bahagian dalam kerjasama pelbagai hala, mempromosikan pembangunan berkualiti tinggi inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)," katanya.

Beliau juga berkata China bersedia mempergiat koordinasi perindustrian dengan pelbagai negara dan berkongsi hasil pembangunan bersama.

Untuk rekod, lebih 1,700 perwakilan dari 90 buah negara dan wilayah menghadiri AMNC-16.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan