DUNIA > BERITA

Ukraine Sasar Pengembangan Perdagangan Teknologi Maklumat Dengan Malaysia

24/06/2025 10:26 PM

Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi & Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Ukraine berhasrat mengembangkan perdagangan di Malaysia dengan mempromosikan sektor Teknologi Maklumat (IT) termasuk penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama kerjasama ekonomi masa depan antara kedua-dua negara, kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Ukraine di Malaysia.

Denys Mykhailiuk berkata walaupun Malaysia dan Ukraine secara tradisinya berdagang komoditi seperti minyak sawit dan minyak bunga matahari, sudah tiba masanya untuk mempelbagaikan kerjasama ke industri berteknologi tinggi tanpa mengetepikan perdagangan minyak sedia ada.

“Perdagangan dalam perkhidmatan kini sangat penting, dan kami antara negara terbesar dalam bidang IT, jadi kami berharap pengalaman serta produk digital kami dapat dimanfaatkan rakyat Malaysia untuk menjadi negara digital juga.

Kami tahu sektor ICT dan kecerdasan buatan Ukraine sememangnya mengagumkan, dan kami juga lihat ia telah menarik minat rakyat Malaysia,” katanya dalam temu bual program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk Bridging Continents: Malaysia–Ukraine Relations in Focus pada Selasa.

Beliau berkata perbincangan telah dimulakan dengan kementerian berkaitan di Malaysia termasuk potensi kerjasama dalam inovasi dan keselamatan siber.

“Bagi produk digital, kami berbincang dengan Kementerian Digital dan juga polis kerana sistemnya agak berbeza di Ukraine.

“Di Ukraine, Kementerian Digitalisasi mempunyai kuasa melindungi ke atas semua agensi lain, manakala di sini terdapat persaingan kerana setiap kementerian bertanggungjawab untuk bahagiannya,” katanya.

Mengakui perbezaan struktur antara kedua-dua negara, Mykhailiuk berkata cabaran ini tidak menjejaskan hubungan niaga-ke-niaga (B2B) yang disifatkannya sebagai kukuh dan berpotensi.

“Malaysia benar-benar antara negara terbaik di dunia untuk bekerjasama,” katanya.

Dalam industri halal, beliau menekankan kepentingan pensijilan halal untuk Ukraine dan memaklumkan bahawa satu pusat pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM sudah beroperasi di negaranya.

“Kami telah memohon dua lagi, dan kami amat memerlukannya kerana kami terletak di sempadan negara Muslim dan bukan Muslim, jadi majoriti pasaran kami adalah negara Muslim.

“Akan menarik untuk melihat pintu perdagangan yang dapat dibuka industri halal untuk kedua-dua negara. Ia bukan sekadar makanan... industri halal menawarkan lebih banyak peluang dalam perdagangan dua hala,” katanya.

Pada 1 Nov 2024, Malaysia dan Ukraine telah memeterai hubungan perdagangan dua hala melalui penubuhan Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia-Ukraine yang pertama, dengan perbincangan tertumpu pada sektor utama termasuk pertanian, aeroangkasa, minyak sawit lestari, peranti perubatan dan pelancongan.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Wakil Perdagangan Ukraine Taras Kachka telah membentuk asas kukuh untuk memperluas kerjasama ekonomi di sebalik cabaran geopolitik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan