DUNIA > BERITA

Malaysia Beri Amaran Islamofobia Digunakan Untuk Justifikasi Penindasan Umat Islam

22/06/2025 10:28 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Malaysia menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan Islamofobia dengan memberi amaran bahawa normalisasi sentimen anti-Islam semakin digunakan untuk mewajarkan serangan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata insiden diskriminasi dan serangan terhadap umat Islam telah mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Penormalan Islamofobia telah menjadi justifikasi utama bagi jenayah Israel terhadap Palestin dan Iran, serta penindasan umat Islam di beberapa negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-51 di Istanbul, Turkiye pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad menggesa agar perkongsian kukuh antara Utusan Khas PBB bagi Memerangi Islamofobia dan Utusan Khas Setiausaha Agung OIC dalam memberi tumpuan kepada menggalakkan persefahaman merentas agama dan memerangi ketaksuban.

Mohamad turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap kekejaman sistematik Israel ke atas Palestin dan pencerobohan haram terbaharu rejim itu terhadap Iran yang mengakibatkan kematian orang awam Iran yang tidak bersalah.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa bertindak hanya mengukuhkan kepercayaan Israel bahawa ia kebal daripada sebarang tindakan.

“Kelumpuhan Majlis Keselamatan PBB terhadap kekejaman Israel amat memalukan. Tiada keamanan tanpa keadilan.

“Konsep keadilan itu sendiri menuntut kita menolak syarat yang tidak masuk akal dan mustahil yang dikenakan terhadap penubuhan negara Palestin,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia kekal teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin, sambil menggesa masyarakat antarabangsa supaya menggandakan usaha untuk merealisasikan penubuhan Negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

“Kita berada di persimpangan yang kritikal. Kerelevanan OIC bergantung pada kekuatan institusinya, termasuk Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC),” tambahnya.

Beliau berkata tema mesyuarat kali ini, “OIC dalam Dunia Transformasi”, menyeru negara anggota memajukan keamanan, pembangunan sosioekonomi dan secara kolektif menangani pelbagai krisis yang dihadapi dunia.

Mengenai IPHRC, Menteri Luar itu menegaskan komitmen Malaysia terhadap usaha mempromosikan hak asasi manusia dengan memberi penekanan kepada hak ekonomi, sosial dan budaya.

Malaysia telah dipilih sebagai ahli IPHRC bagi penggal 2025–2028 di luar mesyuarat CFM.

“Ini membentuk asas kepada pembangunan mampan. Dengan memberi tumpuan kepada bidang ini, kita dapat membina pertumbuhan sosioekonomi yang berdaya tahan dan berkekalan.

“Malaysia bersedia untuk menjalin perkongsian yang berkekalan demi manfaat yang berterusan dan masa depan yang lebih menjanjikan untuk ummah,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa wakil Malaysia ke IPHRC, Prof Emeritus Datuk Dr Aishah Bidin, dengan pengalaman luas dan kepakaran beliau termasuk dalam pembangunan mampan, akan menyumbang secara bermakna ke arah mencapai matlamat ini.

Aishah akan memulakan khidmatnya dalam suruhanjaya itu mulai Ogos ini, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Mesyuarat CFM selama dua hari itu dihadiri lebih 40 menteri luar dari 57 negara anggota OIC dan wakil 30 organisasi antarabangsa, menekankan kepentingan mesyuarat itu dalam menangani situasi geopolitik serantau yang mendesak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan