DUNIA > BERITA

87 Warga Jepun, Ahli Keluarga Dipindahkan Susulan Konflik Iran-israel

20/06/2025 05:07 PM

TOKYO, 20 Jun (Bernama-Kyodo) -- Seramai 87 warga Jepun dan ahli keluarga mereka dipindahkan dari Iran dan wilayah yang dikuasai Israel berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, menurut kerajaan Jepun pada Jumaat.

Agensi Berita Kyodo melaporkan bahawa kumpulan berkenaan tiba di Azerbaijan dan Jordan dengan menaiki bas, selepas lapangan terbang tempatan ditutup.

Tiada sebarang isu kesihatan dilaporkan dalam kalangan kumpulan itu, kata Menteri Luar Takeshi Iwaya.

Daripada jumlah itu — termasuk enam warga asing — seramai 66 orang berlepas dari Tehran dan tiba di Baku awal pagi Jumaat, manakala 21 orang bertolak dari Tel Aviv dan tiba di Amman pada petang Khamis, menurut Kementerian Luar Jepun.

Kerajaan kini sedang mengatur pemindahan seterusnya dari Iran seawal Sabtu, kata Iwaya.

“Memandangkan situasi masih sangat tegang, kerajaan akan melindungi rakyat Jepun dengan memberi keutamaan tertinggi,” katanya.

Menurut kementerian itu, kira-kira 220 warga Jepun masih berada di Iran, manakala sekitar 1,000 orang masih berada di wilayah dikuasai Israel selepas operasi pemindahan dilaksanakan.

Konflik antara kedua-dua negara terus memuncak apabila Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran minggu lalu, dengan alasan Tehran hampir memperoleh senjata nuklear — satu dakwaan yang dinafikan oleh negara itu.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan