DUNIA > BERITA

Marcos Sedia Bincang Filipina Sertai Semula Mahkamah Jenayah Antarabangsa 

19/06/2025 05:57 PM

MANILA, 19 Jun (Bernama-PNA) -- Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan negara itu menyertai semula Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menurut seorang pegawai Istana pada Khamis, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah seruan antarabangsa agar pihak bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi manusia terdahulu diadili.

Cadangan itu dikemukakan dalam laporan kepada Sesi ke-59 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung dari Jun hingga Julai.

Pelapor Khas PBB Irene Khan menggesa Filipina supaya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa serta mengembalikan keanggotaannya dalam Statut Rom ICC.

Pegawai Media Istana, Claire Castro menyifatkan cadangan itu sebagai satu “saranan yang baik” dan mengesahkan bahawa Presiden Marcos akan meneliti perkara itu.

“Beliau mencadangkan agar kami mempertimbangkan untuk menyertai semula ICC dan meratifikasi undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang lain.

“Presiden bersikap terbuka terhadap cadangan ini. Kali terakhir perkara ini dibincangkan, beliau menyatakan kesediaan untuk meneliti perkara ini,” kata Castro dalam sidang media di Malacanang.

Filipina menarik diri daripada ICC pada Mac 2019 di bawah kepimpinan bekas Presiden Rodrigo Duterte, susulan keputusan mahkamah itu untuk menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi dalam kempen antidadah yang dilaksanakannya.

Namun begitu, ICC masih mengekalkan bidang kuasa ke atas kesalahan yang didakwa berlaku ketika Filipina masih menjadi negara anggota.

Duterte kini ditahan di ibu pejabat ICC di The Hague dan sedang menunggu perbicaraan atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Castro turut menyatakan bahawa usaha pentadbiran Marcos untuk memperkukuh perlindungan hak asasi manusia kini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Kami berbesar hati apabila inisiatif Presiden mula mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Langkah-langkah ini termasuk usaha menangani kes kehilangan paksa dan pembunuhan di luar proses undang-undang yang berlaku di bawah pentadbiran terdahulu,” katanya.

-- BERNAMA-PNA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan