DUNIA > BERITA

EAS Bakal Jadi Pentas Penting Bincang Isu Keselamatan Global - Bekas Duta

18/06/2025 03:27 PM

Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang akan dipengerusikan Malaysia pada Oktober ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada ASEAN dan lapan rakan dialognya membincangkan isu keselamatan global yang mendesak, termasuk nasib pelarian Palestin yang berlarutan dan perang Rusia-Ukraine.

Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Ilango Karuppannan berkata EAS, yang diadakan sejurus selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu juga penting kerana penyertaan rakan dialog ASEAN termasuk beberapa anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sidang ini amat penting kerana (sebahagian daripada) anggota tetap Majlis Keselamatan PBB akan hadir,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program “The Nation” terbitan Bernama TV bertajuk “Diplomasi ASEAN dalam Dunia yang Berpecah,” yang dikendalikan Pasha Rahim hari ini.

Beliau berkata EAS juga akan menjadi pentas penting untuk membincangkan isu-isu panas lain seperti ketegangan di Selat Taiwan, pertindihan tuntutan di Laut China Selatan, serta perang saudara di Myanmar yang masih berlarutan.

Beliau turut menjangka konflik antara Tel Aviv dan Tehran akan menjadi antara topik utama perbincangan jika ia belum reda menjelang sidang itu.

“Saya bimbang kerana ada kemungkinan besar konflik ini tidak akan reda dalam masa terdekat, sebaliknya mungkin berlarutan lebih lama.

“Bahaya yang lebih besar ialah apabila negara lain turut terheret ke dalam konflik ini,” katanya.

EAS dijadual berlangsung sejurus selepas penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Rakan dialog ASEAN lain termasuk Korea Selatan, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), Kanada, India, Australia dan New Zealand.

Dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mempengerusikan EAS, Ilango berkata ia akan memberi peluang kepada ASEAN dan rakan dialognya untuk menumpukan perhatian kepada usaha penglibatan luar ASEAN ketika dunia terus berdepan cabaran global.

Ilango yang kini merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM), berkata sidang ASEAN kedua setiap tahun kebiasaannya lebih signifikan kerana menumpukan kepada hubungan luar, manakala sidang pertama lebih tertumpu kepada hal ehwal dalaman.

Sidang pertama - Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 - diadakan pada 26-27 Mei, diikuti Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang menghimpunkan enam negara Asia Barat pengeluar minyak serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, dengan isu tarif “Liberation Day” oleh Amerika Syarikat yang menggugat sistem perdagangan pelbagai hala dunia menjadi tumpuan.

Menjawab kritikan terhadap ASEAN yang didakwa gagal menangani konflik di Myanmar, Ilango yang juga pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Lubnan dari 2010 hingga 2014 berkata ASEAN tidak wajar dipersalahkan kerana krisis itu telah wujud sebelum ASEAN ditubuhkan pada 1967.

“Konflik Myanmar bukan berpunca daripada ASEAN. Sebaliknya, Myanmar tidak pernah benar-benar bersatu sebagai sebuah negara kerana banyak pihak luar menyokong pelbagai puak, termasuk dengan membekalkan senjata,” katanya.

“Untuk menyelesaikan isu ini, sama ada dari sudut kemanusiaan mahupun politik, kita perlukan kerjasama semua pihak termasuk China, India, Rusia dan lain-lain.

“Oleh itu, tidak adil untuk dunia meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ini ke atas ASEAN kerana ia di luar kawalan kita sepenuhnya,” katanya.

Sebaliknya, beliau memuji ASEAN sebagai entiti yang berjaya mengekalkan kestabilan dan keamanan sejak ditubuhkan, walaupun dunia kini semakin berpecah-belah.

Katanya, sejak penubuhannya, ASEAN tidak pernah mengalami konflik besar dan sememangnya diwujudkan untuk mengelakkan sebarang krisis serius seperti yang berlaku di rantau lain yang gagal diselesaikan oleh pertubuhan serantau masing-masing.

“Cuba lihat dunia dan rantau lain, dan bandingkan dengan Asia Tenggara yang tidak berdepan konflik besar. Walaupun ada perselisihan kecil seperti antara Thailand dan Kemboja, ia lebih kepada pertikaian adik-beradik yang dapat diselesaikan secara dalaman.

“Berbanding rantau lain, ASEAN memiliki kredibiliti, termasuk dari segi politik dan keupayaan untuk membuatkan dunia mendengar, memahami dan mengiktiraf keperluan untuk bekerjasama dengan kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan