DUNIA > BERITA

OPEC Turunkan Unjuran Permintaan Minyak Global 2025 Kepada 1.29 Juta Bpd

16/06/2025 10:43 PM

MOSCOW, 16 Jun (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak global bagi 2025 sebanyak 10,000 tong sehari kepada 1.29 juta tong sehari, menurut laporan terbarunya yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Mei lalu, OPEC mengunjurkan permintaan sebanyak 105 juta tong sehari, namun kini ia menjangka jumlah itu meningkat kepada 105.13 juta tong sehari.

Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan permintaan disemak turun daripada 1.3 juta tong sehari kepada 1.29 juta tong sehari, berikutan penyesuaian unjuran permintaan bagi 2024 yang diturunkan sebanyak 140,000 tong sehari - daripada 103.84 juta kepada 103.7 juta tong sehari.

Menurut laporan itu, pengeluaran minyak oleh negara OPEC+ pada Mei meningkat sebanyak 180,000 tong sehari berbanding April, menjadikan jumlah keseluruhan 41.23 juta tong sehari.

“Pengeluaran minyak mentah oleh negara yang mengambil bahagian dalam Deklarasi Kerjasama (DoC) meningkat sebanyak 180,000 tong sehari pada Mei, menjadikan purata sekitar 41.23 juta tong sehari,” menurut laporan itu, berdasarkan sumber sekunder.

Lapan negara OPEC+ yang melaksanakan pemotongan sukarela pada Mei menghasilkan 394,000 tong sehari melebihi sasaran, mengambil kira pelan pampasan. Namun begitu, secara keseluruhan OPEC+ menghasilkan 49,000 tong sehari kurang daripada sasaran yang dipersetujui, termasuk pelarasan sukarela.

Sementara itu, stok komersial minyak mentah dan produk petroleum di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meningkat sebanyak 4.7 juta tong pada April kepada 2.739 bilion tong, iaitu 135.3 juta tong di bawah purata lima tahun terkini.

“Data awal bagi April 2025 menunjukkan inventori komersial OECD berjumlah 2,739 juta tong, iaitu 4.7 juta tong lebih tinggi daripada bulan sebelumnya. Pada tahap ini, stok komersial OECD adalah 94.9 juta tong lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun lalu, 135.3 juta tong di bawah purata lima tahun terkini, dan 187.8 juta tong di bawah purata 2015–2019,” menurut laporan itu lagi.

OPEC juga menurunkan unjuran pertumbuhan pengeluaran minyak dan kondensat Amerika Syarikat pada 2025 sebanyak 50,000 tong sehari, kepada hanya 80,000 tong sehari, menjadikan purata sebanyak 13.28 juta tong sehari.

Bulan lalu, OPEC meramalkan yang angka itu akan meningkat tahun ini sebanyak 130,000 tong sehari kepada 13.34 juta tong sehari.

-- BERNAMA/SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan