DUNIA > BERITA

Perancis Akan Larang Akses Media Sosial, Pembelian Senjata Tajam Oleh Kanak-Kanak – Macron

11/06/2025 05:40 PM

MOSCOW, 11 Jun (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Perancis akan melarang akses media sosial kepada kanak-kanak bawah di umur 15 tahun dan memperketat peraturan penjualan senjata tajam kepada golongan bawah umur, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Presiden Emmanuel Macron mengumumkan perkara itu susulan insiden seorang remaja menikam  seorang pekerja sekolah hingga mati pada Selasa.

“Kita mesti melarang akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur 15 tahun. Saya beri tempoh beberapa bulan untuk Eropah bertindak. Jika tidak, kita akan mulakan pelaksanaan di Perancis. Kita tidak boleh tunggu,” katanya kepada penyiar France 2.

Pada April lepas, bekas Perdana Menteri Perancis Gabriele Attal mencadangkan larangan akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur 15 tahun serta menyekat akses pada waktu malam bagi remaja sebagai sebahagian daripada langkah radikal menangani ketagihan internet.

Macron turut berjanji untuk mengawal selia penjualan senjata tajam dengan lebih baik, termasuk secara dalam talian. Perdana Menteri Francois Bayrou berkata menerusi media sosial bahawa ancaman senjata tajam kini berada pada tahap kritikal dan berikrar untuk “menjadikan wabak yang semakin berleluasa itu diisytihar sebagai musuh awam.”

“Kita akan perketatkan peraturan. Ini bermakna kita akan memperkenalkan sekatan kewangan meluas dan larangan.

“Kita tidak lagi boleh menjual senjata tajam ini. Remaja berusia 15 tahun tidak lagi boleh membeli pisau dalam talian,” kata Macron.

Terdahulu pada Selasa, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun bertindak menikam seorang pembantu sekolah wanita berkali-kali menggunakan pisau dan mencederakan seorang anggota polis di sebuah sekolah menengah di Nogent, timur laut Perancis. Wanita itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan