Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 31 Mei (Bernama) -- Perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir individu atau ejen yang menawarkan visa Mujamalah tanpa pengesahan sah adalah haram dari sudut syarak dan bertentangan dengan ajaran Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata perbuatan memperdaya orang lain demi keuntungan peribadi adalah satu bentuk penipuan yang nyata dan tidak seharusnya dipandang ringan oleh masyarakat, khususnya umat Islam.
“Mana-mana pihak yang menggunakan usaha untuk menipu orang lain telah melakukan perbuatan yang jelas dilarang agama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di sini hari ini.
Semalam, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli pakej mengerjakan ibadah haji susulan langkah Arab Saudi mengetatkan pengeluaran visa Mujamalah kepada rakyat negara ini.
Mohd Na’im berkata penawaran visa Mujamalah oleh pihak tidak bertauliah bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah menjurus kepada perbuatan mengambil hak orang lain secara tidak sah.
“Ini adalah satu bentuk eksploitasi yang memperalatkan keinginan sesetengah pihak untuk menunaikan haji atau umrah dan akhirnya menyebabkan mereka ditipu dan perbuatan ini adalah kezaliman dan menanggung dosa besar di sisi agama,” katanya.
Justeru, Mohd Na'im menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan janji manis individu atau ejen yang tidak mempunyai kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Mohd N'aim berkata kerajaan menyambut baik langkah Arab Saudi mengetatkan kawalan di semua sempadan serta pintu masuk ke Masjidil Haram dalam usaha mengekang kemasukan individu tanpa visa haji yang sah.
Beliau turut mengingatkan jemaah haji Malaysia untuk sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan Kerajaan Arab Saudi termasuk pemakaian Kad Nusuk dan gelang pengenalan diri bagi memastikan kelancaran ibadah serta keselamatan diri sepanjang berada di Tanah Suci.
“Para jemaah juga diingatkan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menyalahi undang-undang tempatan termasuk menyertai perhimpunan yang tidak dibenarkan atau merakam kandungan sensitif di kawasan larangan bagi mengelakkan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata penerbangan terakhir yang membawa jemaah haji Malaysia bagi musim ini dijadualkan tiba esok (1 Jun) pada 10.20 pagi waktu tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial