Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 30 Mei (Bernama) -- Wanita Kemboja semakin menonjol dalam sektor produk perikanan, mengubah peranan mereka daripada pengeluar tradisional kepada pemain utama dalam pasaran global.
Usahawan wanita yang berdaya usaha menguasai sekurang-kurangnya 60 peratus daripada perusahaan tidak formal berskala mikro dan kecil, kini meningkatkan kemahiran pemprosesan lepas tuai mereka dalam sektor perikanan untuk menembusi pasaran berstatus tinggi.
Projek pembangunan perikanan lepas tuai CAPFISH-Capture anjuran Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) membantu wanita Kemboja meningkatkan kemahiran mereka, beralih daripada teknik pemprosesan ikan yang lapuk kepada piawaian diiktiraf dunia.
“Kami menyokong lebih 51 perusahaan perikanan dan pihak dalam rantaian nilai dalam menaik taraf perniagaan mereka. Daripada jumlah itu, sebanyak 35 perusahaan itu diterajui oleh wanita dan tiga oleh orang kurang upaya.
“Kami kini menghubungkan mereka dengan pembeli global dari EU (Kesatuan Eropah). Beberapa perusahaan telah mula mengeksport ke China, Korea Selatan dan Australia,” kata Ketua Penasihat Teknikal CAPFISH-Capture UNIDO, Dr Shetty Seetharama Thombathu kepada Bernama.
CAPFISH-Capture ialah projek lima tahun yang dibiayai bersama oleh Kesatuan Eropah dan dilaksanakan oleh UNIDO dengan penyelarasan Pentadbiran Perikanan Kemboja.
Perikanan merupakan nadi penting ekonomi Kemboja. Kira-kira enam juta orang bekerja secara langsung dan tidak langsung dalam sektor perikanan domestik. Aktiviti perikanan lepas tuai sahaja dianggarkan menggaji 33,000 pekerja, majoritinya adalah wanita.
Ikan kekal sebagai makanan ruji rakyat Kemboja dengan penggunaan ikan per kapita mereka ialah sebanyak 54 kilogram - antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja mendedahkan bahawa jumlah pengeluaran perikanan dan akuakultur mencecah 926,936 tan metrik pada tahun lepas.
Produk perikanan buatan tempatan seperti sos ikan, pekasam, bebola ikan dan ikan salai dihasilkan secara meluas, namun jarang dieksport kerana kekurangan nilai tambah dan pematuhan piawaian keselamatan makanan.
Menurut UNIDO, daya saing Kemboja yang rendah dari segi nilai tambah menyukarkan produk tempatan bersaing di pasaran domestik yang dibanjiri produk import dan pada masa sama gagal menembusi pasaran serantau atau global.
Projek CAPFISH-Capture bertindak menggiatkan semula sektor berpotensi tinggi itu agar mampu bersaing dengan pengeksport antarabangsa berkualiti tinggi dengan melengkapkan pengeluar tempatan dengan teknik moden.
“Matlamat utama adalah untuk meningkatkan daya saing produk perikanan bagi mempromosikan perdagangan domestik dan eksport, serta melindungi kesihatan awam dengan memastikan produk perikanan yang selamat dan berkualiti tinggi untuk pengguna.
“Kami mengusahakan pelbagai isu dan elemen dalam rantaian nilai seperti tadbir urus, keselamatan makanan, pembangunan kapasiti dan kemahiran, pemasaran dan penjenamaan, akses kepada pembiayaan, penyelidikan dan pembangunan, pemerkasaan jantina, serta daya tahan terhadap alam sekitar dan iklim,” kata Shetty.
Kejayaan baharu Kemboja kini melangkaui sempadan. Negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang turut bergantung kepada industri perikanan dalam ekonomi mereka, telah mengiktiraf projek CAPFISH-Capture.
Sementara itu, Mesir, Chile dan Kyrgyzstan telah menyatakan minat untuk mencontohi model latihan UNIDO.
“Menyenaraikan Kemboja sebagai negara yang layak mengeksport ke EU adalah matlamat utama kami. Kami telah memenuhi semua keperluan keselamatan makanan EU dan kini bersedia untuk diaudit oleh DG SANTE (Direktorat Agung Kesihatan dan Keselamatan Makanan Suruhanjaya Eropah),” kata Shetty.
Wanita Kemboja kini menyerlah dalam pekerjaan yang sebelum ini sering diabaikan kerana kerja berat dan bergaji rendah. Namun, nasib mereka kini mula berubah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial