DUNIA > BERITA

Openai Bakal Buka Pejabat Di Seoul Dalam Usaha Perluas Infrastruktur AI Global

26/05/2025 05:16 PM

SEOUL, 26 Mei (Bernama-Yonhap) -- Syarikat kecerdasan buatan (AI) dari Amerika Syarikat OpenAI, mengumumkan rancangan untuk membuka pejabat pertamanya di Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha peluasan infrastruktur AI globalnya yang berterusan, lapor agensi berita Yonhap.

Ketua Pegawai Strategi OpenAI Jason Kwon berkata syarikat itu secara rasmi telah menubuhkan unit di Korea dan akan membuka pejabat di ibu negara itu tidak lama lagi.

"Pejabat antarabangsa kami yang seterusnya akan dibuka di Seoul.

"Kami akan membukanya dalam beberapa bulan akan datang dan memulakan pengambilan pasukan tempatan bagi memajukan usaha kami serta menyokong pengguna, pelanggan dan rakan kongsi tempatan," kata Kwon kepada pemberita di sini pada Isnin.

Pejabat di Seoul akan menjadi pejabat ketiga OpenAI di Asia selepas Tokyo dan Singapura.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi global OpenAI, yang menyaksikan syarikat itu membuka 11 pejabat antarabangsa di bandar-bandar utama, termasuk Paris, Brussels, London, Dublin dan Tokyo.

OpenAI, pengendali chatbot AI popular ChatGPT, telah pun menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat utama Korea Selatan termasuk Kakao Corp, Krafton Inc dan syarikat telekomunikasi mudah alih SK Telecom Co dalam bidang pembangunan AI dan infrastruktur data.

Kwon berkata Korea Selatan dipilih sebagai negara rakan kongsi utama kerana tahap penglibatan yang tinggi dengan platform OpenAI.

"Korea Selatan berada dalam kelompok 10 negara teratas dari segi jumlah pengguna ChatGPT dan pembangun yang menggunakan platform OpenAI," katanya sambil menambah bahawa negara itu juga mempunyai bilangan pelanggan ChatGPT berbayar kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

"Rakyat Korea bukan sekadar pengguna awal ChatGPT - mereka turut membentuk cara penggunaannya di seluruh dunia," katanya. "Kami berbangga dapat bekerjasama dengan organisasi Korea bagi mengaplikasikan teknologi AI yang canggih."

Beliau menambah bahawa OpenAI berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan pembuat dasar, pembangun dan sektor perniagaan Korea Selatan bagi memacu inovasi AI yang selaras dengan keperluan dan keutamaan tempatan.

Bagaimanapun, Kwon tidak mendedahkan sebarang rancangan khusus untuk pusat data di Korea Selatan.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan