DUNIA > BERITA

UAE Rancang Labur US$1.4 Trilion Di AS Dalam Tempoh Sedekad - Presiden

16/05/2025 02:05 PM

ABU DHABI, 16 Mei (Bernama-Anadolu) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan melabur US$1.4 trilion di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sedekad akan datang, umum Presiden Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan pada Khamis semasa perbincangan dengan Presiden Donald Trump di Qasr Al Watan, Abu Dhabi.

Sheikh Mohammed berkata pelaburan tersebut, yang akan disalurkan melalui institusi pelaburan Emirati, akan memberi tumpuan kepada sektor ekonomi baharu, tenaga, teknologi canggih, kecerdasan buatan dan industri, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau menekankan AS sebagai rakan strategik utama dalam aspirasi UAE meneroka angkasa, termasuk misi Marikh, program latihan angkasawan dan projek penerokaan sabuk asteroid.

“Pada Mac lalu, anda menyatakan bahawa UAE sentiasa menjadi rakan strategik dalam menyokong usaha keamanan dan keselamatan di Timur Tengah dan seluruh dunia. Hari ini, saya menegaskan semula bahawa Abu Dhabi komited meneruskan kerjasama dengan Washington untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau kita dan seterusnya,” kata Sheikh Mohammed kepada Presiden Donald Trump.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa lawatan Trump akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan ketara, sambil menambah: “Saya yakin lawatan ini akan memberi impak besar ke atas masa depan hubungan kita.”

Menurut agensi berita rasmi WAM, Trump disambut di lapangan terbang Abu Dhabi oleh Presiden Sheikh Mohammed sebelum melawat Masjid Besar Sheikh Zayed bersama Putera Mahkota Sheikh Khaled bin Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Lawatan Trump ke Abu Dhabi merupakan persinggahan terakhir dalam jelajah Teluk beliau, selepas kunjungan ke Arab Saudi dan Qatar, serta menandakan kali pertama seorang Presiden AS berkunjung ke Emiriah Arab Bersatu sejak George W. Bush pada 2008.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan