ISTANBUL, 16 Mei (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio berkata pada Khamis bahawa Syria yang aman dan stabil “akan menjadi antara perubahan paling ketara di rantau ini sejak sekian lama,” sekali gus menzahirkan sokongan Washington terhadap kepimpinan baharu negara itu di bawah Presiden Ahmad al-Sharaa.
“Ini adalah peluang bersejarah, dan jika ia berjaya, ia akan memberi kesan transformasi yang dramatik ke atas rantau ini,” ujar Rubio pada perhimpunan di bandar peranginan Antalya, Turkiye, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kenyataanya dibuat sehari selepas Presiden AS Donald Trump mengadakan pertemuan dengan al-Sharaa di Riyadh -- hubungan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara sejak kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada Disember tahun lalu.
Trump sebelum ini menggambarkan pertemuan itu sebagai “hebat” dan sebelum itu telah mengumumkan hasratnya untuk menamatkan sekatan AS ke atas Syria.
Rubio memuji komitmen kepimpinan baharu Syria untuk membina semula negara itu sebagai masyarakat majmuk, sambil menyatakan bahawa Damsyik telah menyampaikan hasrat untuk “berdamai dengan semua jiran” dan “mengusir petempur asing serta pengganas” yang boleh mengganggu kestabilan negara.
Walau bagaimanapun, Rubio menekankan bahawa bantuan AS akan bergantung pada kemajuan yang ditunjukkan oleh Syria.
“Kami mahu melihat kemajuan dicapai, dan kami akan menyokong setiap langkah yang diambil mereka, walaupun perjalanan itu masih panjang,” katanya.
Beliau juga menyentuh cadangan untuk merujuk kepada Kongres pada masa hadapan bagi menamatkan sekatan secara kekal.
“Saya fikir kita akan mulakan dengan pelepasan awal, yang membolehkan rakan luar menyalur bantuan tanpa berdepan risiko dikenakan sekatan,” tambahnya.
Rubio kini berada di Turkiye untuk mesyuarat tidak rasmi menteri luar NATO.
Pada Khamis, beliau mengadakan pertemuan tiga pihak dengan Menteri Luar Syria Asaad Hassan al-Shaibani, dan Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan. Selepas Fidan beredar, Rubio dan al-Shaibani meneruskan perbincangan.
Trump mengumumkan pada Forum Pelaburan Arab Saudi-AS 2025 di Riyadh pada Selasa bahawa beliau akan menamatkan sekatan “kejam dan melumpuhkan” ke atas Syria, memetik perbincangan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.
Pertemuan pertama Trump dengan al-Sharaa berlangsung pada Rabu di Riyadh, dengan kehadiran Mohammed bin Salman dan penyertaan Erdogan secara dalam talian. Trump menggambarkan al-Sharaa sebagai “laki-laki tegas” dengan “latar belakang kukuh.”
Bashar al-Assad, yang memerintah Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada 8 Dis 2024, menamatkan cengkaman selama beberapa dekad Parti Baath dalam kuasa.
Al-Sharaa, yang mengetuai pasukan antirejim yang mencapai kemenangan, telah diisytiharkan sebagai presiden pada akhir Januari.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial