DUNIA > BERITA

MALAYSIA TEKANKAN PERPADUAN DAN TINDAKAN UNTUK TANGANI ISU UMMAH

05/05/2024 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Malaysia menggesa supaya negara-negara Islam bersatu padu dan bertindak untuk menangani isu utama yang memberikan kesan kepada  ummah di seluruh dunia. 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-15 telah mengetengahkan penderitaan rakyat Palestin, pendudukan haram Israel dan menyeru supaya tindakan segera diambil bagi menangani ketegangan yang meningkat di Timur Tengah. 

“Ketegangan yang meningkat di Timur Tengah sudah tentu akan mengundang risiko kepada ekonomi global dan kemajuan ummah. 

Walaupun kita menghargai pendekatan bertenang yang diambil pihak terlibat, OIC perlu berusaha dengan masyarakat antarabangsa untuk menangani punca utama masalah itu, iaitu pendudukan haram Israel di Palestin  lebih dari tujuh dekad,” katanya. 

Beliau juga menyeru kepada pelaksanaan satu gencatan senjata, akses tanpa halangan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, kebertanggungjawapan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemasukan Palestin sebagai anggota tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mohamad juga menjelaskan persidangan dua hari ini anjuran OIC di Banjul, ibu negara Gambia sebagai satu perhimpunan yang membuka mata  tentang cabaran ummah dan peranan OIC dalam menanganinya.

Menteri Luar itu juga menzahirkan kebimbangan tentang Islamofobia, menekankan keperluan usaha bersama untuk memerangi prejudis dan diskriminasi terhadap orang Islam. 

“Kita telah menyaksikan parti politik berhaluan kanan, pemimpin agama dan malah negara serta pelakon Barat mempersendakan kepelbagaian kepercayaan dan agama, termasuk membakar dan menghina al-Quran dengan sengaja, katanya pada sidang kemuncak itu. 

Beliau mengetengahkan usaha Malaysia untuk menggalakkan dialog antara agama dan toleransi dengan menjadi tuan rumah kepada forum dan persidangan antarabangsa.

Mohamad menekankan kepentingan membantu golongan minoriti Muslim dan pelarian dengan memberi contoh Malaysia menjadi tuan rumah kepada seminar serta menyokong hak mereka dan akses kepada pendidikan.  

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama ekonomi dan hubungan perdagangan dalam kalangan negara OIC untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan sosioekonomi.

“OIC juga perlu meneruskan usahanya untuk membantu minoriti Muslim dan komuniti di luar negara anggota, termasuk etnik Rohingya untuk melindungi maruah, identiti keagamaan dan kebudayaan mereka selain daripada menambah baik keadaan mereka.  

Kita mesti kukuhkan kerjasama dan hubungan perdagangan dalam kalangan negara anggota OIC, seperti yang diterima pakai dalam Pelan Tindakan OIC 2016-2025,” katanya.  

Mohamad mengulangi komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan ini dengan menunjukkan penganjuran persidangan antarabangsa mengenai ekonomi dan kewangan Islam.

Menteri Luar itu juga menegaskan komitmen Malaysia kepada misi OIC untuk keamanan, keselamatan dan kesejahteraan ummah, dengan menekankan perpaduan dan kerjasama.

Sidang Kemuncak kali ini bertemakan “Meningkatkan Perpaduan dan Solidariti menerusi Dialog untuk Pembangunan Mampan” menyediakan platform perbincangan kepada pencapaian OIC dan cabaran berterusan dihadapi dunia Islam. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan