DUNIA > BERITA

SARJANA MALAYSIA TERIMA PENGHARGAAN DARIPADA MENTERI LUAR JEPUN

10/05/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Sarjana Malaysia dan Ketua Pusat Penyelidikan Malaysia-Jepun (MJRC) di Universiti Malaya, Dr Jamila Mohd menerima anugerah Penghargaan Menteri Luar Jepun atas sumbangan cemerlang beliau dalam memajukan pengajian Jepun di Malaysia dan memupuk persefahaman antara kedua-dua negara.

Anugerah itu disampaikan Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko dalam satu majlis yang diadakan di kediaman rasminya di sini, Khamis.

“Jamila-sensei telah banyak menyumbang dalam mempromosikan bahasa Jepun, budaya Jepun, pengajian Jepun di Malaysia serta meningkatkan pemahaman bersama antara kedua-dua negara. Kami tidak cukup menghargai Jamila-sensei atas penglibatan kukuh beliau dalam memupuk persahabatan dua hala yang telah lama terjalin,” kata Takahashi.

Sementara itu, Jamila, yang merupakan pensyarah kanan Bahasa Jepun di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Jepun atas pengiktirafan berprestij terhadap kerja, minat dan dedikasinya dalam mempromosikan pengajian Jepun sejak lebih 30 tahun lalu.

Beliau menambah bahawa anugerah itu akan mendorong untuk melaksanakan lebih banyak program serta bekerjasama dengan universiti Jepun untuk memupuk aktiviti bahasa dan budaya Jepun di negara ini.

Jamila mula belajar bahasa Jepun di Ambang Asuhan Jepun (AAJ), di bawah Dasar Pandang ke Timur (LEP) dan kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Tsukuba.

Setelah menamatkan pengajian sebagai sarjana LEP, beliau kembali ke Jepun sebagai penerima biasiswa kerajaan Jepun dan memperoleh ijazah sarjana serta doktor falsafah dalam bahasa dan budaya Jepun di Universiti Nagoya.

Beliau diiktiraf atas sumbangan dan dedikasi (AAJ) iaitu beliau telah mengajar lebih 2,000 pelajar Malaysia selama hampir dua dekad untuk program itu. AAJ adalah program persediaan khas selama dua tahun untuk pelajar Malaysia memasuki universiti Jepun.

Beliau telah membantu membangunkan MJRC melalui Bantuan Geran untuk Projek Akar Umbi Budaya Jepun dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia, mewujudkan sinergi baharu dalam pendidikan dan penyelidikan dalam kalangan pakar antara kedua-dua negara. 

Jamila juga terlibat secara aktif menulis dan menyunting buku teks bahasa Jepun untuk Tingkatan 4 dan 5 atas permintaan Kementerian Pendidikan Malaysia, yang kini digunakan oleh pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan