DUNIA > BERITA

PM LEE AKAN HADIR PERMUKIMAN PEMIMPIN SINGAPURA-INDONESIA DI BOGOR

27/04/2024 08:14 AM

SINGAPURA, 27 April (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan melawat Bogor, Indonesia pada 29 April ini untuk menghadiri Permukiman Pemimpin Singapura-Indonesia yang dihoskan oleh Presiden Joko Widodo, menurut Pejabat  Perdana Menteri  (PMO). 

Ini merupakan permukiman ketujuh dihadiri Lee dan Permukiman Pemimpin terakhir dengan Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi. 

Lee akan melepaskan jawatannya pada 15 Mei ini sementara Jokowi akan mengakhiri penggal pentadbirannya pada Oktober.

Pada permukiman itu,kedua-dua pemimpin itu akan menilai kembali kemajuan penting yang dicapai dalam kerjasama dua hala dalam penggal masing-masing, termasuk tiga perjanjian yang berkuat kuasa pada Mac tahun ini di bawah kerangka kerja yang dikembangkan selain daripada menyemak semula kemajuan  diperoleh dalam bidang seperti pertahanan, ekonomi digital dan  kemampanan.

“Singapura dan Indonesia juga telah mencapai kemajuan dalam kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang lain yang meluas termasuk pertahanan, perdagangan dan pelaburan serta kerjasama kewangan. Semasa pandemik COVID-19 kedua-dua belah pihak juga mengukuhkan kerjasama dalam penjagaan kesihatan,”kata PMO dalam satu kenyataan pada Jumaat.  

Lee akan diiringi beberapa menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong, yang dinamakan sebagai pengganti Lee.

Turut tersenarai dalam delegasi itu ialah Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras untuk Keselamatan Negara  Teo Chee Hean, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Lain-lain menteri yang menyertai delegasi itu ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam , Masagos Zulkifli; Menteri Kesihatan  Ong Ye Kung dan Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Perdagangan dan Industri  Dr Tan See Leng.   

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan