DUNIA > BERITA

AFRIKA SELATAN TUMPU SEKTOR HALAL DALAM HUBUNGAN DUA HALA DENGAN MALAYSIA

26/04/2024 12:19 PM


From Rohani Mohd Ibrahim

 

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) --  Sektor halal dikenal pasti sebagai antara peluang terbesar yang diutamakan Afrika Selatan dalam hubungan dua halanya dengan Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia David E. Malcomson.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, beliau berkata kerjasama sektor halal boleh berkembang melangkaui hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan Afrika Selatan optimis ia boleh memainkan peranan sebagai pintu masuk ke benua Afrika untuk Malaysia.

"Begitu juga Afrika Selatan melihat Malaysia sebagai pintu masuk ASEAN, iaitu Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi blok itu tahun depan. Malaysia mempunyai hubungan di seluruh ASEAN dan boleh menjadi pintu masuk bagi Afrika Selatan untuk memasuki pasaran Jalur dan Jalan sehingga ke Kunming, China," katanya. 

Malcomson berkata peluang untuk sektor halal terbuka luas dengan adanya Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika yang kini mengintegrasikan semua negara Afrika ke dalam satu pasaran tunggal dengan kira-kira 1.2 bilion orang di seluruh benua itu.

Daripada 1.2 bilion penduduk di 54 negara di Afrika, lebih 500 juta adalah umat Islam, katanya. 

Afrika Selatan mempunyai hubungan infrastruktur yang diperlukan serta hubungan perbankan dan runcit kerana bank dan syarikat Afrika Selatan mempunyai jaringan di seluruh benua Afrika.

"Jadi kami percaya Afrika Selatan boleh menyediakan pintu masuk ke Afrika untuk syarikat Malaysia dan hubungan yang akan membolehkan Malaysia berkhidmat kepada pasaran Afrika," katanya.

Malcomson berkata tahun depan merupakan tahun penting bagi Afrika Selatan dan Malaysia kerana Pretoria dijadual menjadi tuan rumah sidang kemuncak G20 manakala Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN. 

Justeru, beliau berkata adalah baik bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama dalam industri halal.

Beliau berkata walaupun Afrika Selatan mempunyai komuniti Islam yang agak kecil, dengan 500,000 umat Islam daripada populasi 60 juta, negara berkenaan adalah antara pengeluar global terkemuka produk halal.

“Enam puluh peratus produk di kedai runcit Afrika Selatan adalah disahkan halal dan Afrika Selatan mempunyai tiga badan pensijilan halal yang diiktiraf Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya.

Menurut duta itu, Afrika Selatan telah mengambil bahagian dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) setiap tahun, dengan produk seperti makanan dan minuman, farmaseutikal, kecantikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan halal (dengan orang Melayu Cape Town mempunyai hubungan langsung dengan Kepulauan Melayu).

Beliau berkata Afrika Selatan mempunyai sejarah yang panjang dalam memberi perkhidmatan produk halal kepada negara-negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. 

"Afrika Selatan cuba mencontohi Malaysia; Kami berjaya dalam pasaran makanan dan minuman terutamanya buah sitrus.  Satu bidang yang kami masih berusaha untuk realisasikan ialah untuk mendapatkan bekalan daging Afrika Selatan termasuk daging lembu, kambing, dan ayam," katanya.

Malcomson berkata produk ini memberi pilihan kepada pengguna Malaysia pada kualiti dan harga yang menarik.

Duta itu juga mempelawa syarikat Malaysia untuk melabur dalam Hab Halal di Afrika Selatan dan melabur dalam Taman Halal di negara itu, bertujuan untuk memenuhi pasaran benua Afrika dan rantau Asia Barat yang kini mempunyai jurang 40 peratus antara bekalan dan permintaan. 

Selepas memperingati 30 tahun hubungan diplomatik antara Afrika Selatan dan Malaysia tahun lepas, beliau teruja untuk kedua-dua negara melancarkan dan menandatangani perjanjian kerjasama dalam industri halal.

Afrika Selatan, sebagai rakan dialog sektoral ASEAN, juga berharap dapat bekerjasama dengan blok itu di bawah kepimpinan Malaysia tahun depan, katanya.

Afrika Selatan yang akan meraikan ulang tahun ke-30 kebebasan dan demokrasi negara itu pada 27 April, menyatakan harapannya agar Afrika Selatan dan Malaysia akan bertukar-tukar lawatan pemimpin.

Beliau berkata usaha sedang dilakukan untuk mengembalikan penerbangan terus antara Kuala Lumpur, Johannesburg dan Cape Town pada masa akan datang untuk meningkatkan pergerakan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan