COVID-19

Pasca-COVID-19 : ASEAN digesa manfaatkan peluang teliti semula ekonomi

03/07/2020 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai -- ASEAN perlu menjadikan tempoh pemulihan pasca-COVID-19 sebagai peluang terbaik bagi meneliti semula trajektori pertumbuhannya agar lebih berdaya tahan, upaya digital, berketerangkuman serta mapan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Lim Jock Hoi.

Beliau berkata COVID-19 tidak hanya memberi impak kesihatan dan sosioekonomi yang tidak dijangkakan di rantau ini tetapi turut memberi peluang bagi rantau ini menilai semula hala tujunya.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan komitmen awal rantau tersebut untuk saling bekerjasama dan bukannya lebih mengutamakan usaha secara sendirian di tengah-tengah pandemik itu.

“ASEAN akan terus bekerjasama termasuk dengan rakan luaran dan institusi. Ini jelas memaparkan komitmen ASEAN terhadap kerjasama pelbagai pihak bagi menangani implikasi serta ancaman secara berkesan,” katanya pada program dialog secara maya anjuran Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI) hari ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Pengerusi CARI Tan Sri Dr Munir Majid, merupakan sebahagian daripada Taklimat CARI : Siri Pelan Pemulihan Ekonomi COVID-19 bertajuk “How Can ASEAN Bounce Back: Can the ASEAN Economic Community Retain its Vision in a Post-Pandemic World?” 

Perbincangan mengenai peluang meneliti semula ekonomi itu timbul ketika usaha pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti ASEAN 2025 sedang dalam proses kajian penggal pertengahan pada tahun ini bagi menilai pencapaian serta perancangannya untuk masa depan.

Rantau terbabit juga dikatakan berada dalam tempoh kritikal bagi pembangunan satu strategi berkesan sejajar kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat serta ke arah pemeteraian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Lim juga menyifatkan usaha penyelarasan bagi pembukaan semula ekonomi serta tempoh pemulihan pasca-COVID-19 adalah kritikal seiring dengan tahap intergrasi dan kesalinghubungan ekonomi ASEAN yang tinggi.

“Sektor swasta akan memainkan peranan penting untuk memacu usaha-usaha bagi memulihkan semula aspek pengambilan pekerja, keyakinan perniagaan serta berusaha ke arah pemulihan ekonomi yang lancar dan kukuh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan