COVID-19

Lelaki langgar perintah kuarantin serah diri di Sibu Jaya

25/05/2020 03:33 PM

SIBU, 25 Mei  -- Seorang lelaki berusia 27 tahun menyerah diri di Balai Polis Sibu Jaya hari ini selepas mengingkari arahan kuarantin di rumah dan menghebohkannya di Facebook.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit, dalam mengesahkan hal itu, berkata kes itu telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Tindakan lelaki yang tinggal di Rancangan Perumahan Rakyat Taman Bandar Sibu Jaya itu melanggar perintah kuarantin diketahui umum setelah membuat hantaran di Facebook bahawa beliau sedang menikmati mee kampua di sebuah kafe.

Ditanya oleh seorang rakan Facebook bagaimana dia boleh keluar rumah, beliau menjawab telah menanggalkan gelang tangan QR yang dipakainya dengan menarik gelang itu yang diperbuat daripada plastik sehingga kendur sebelum meloloskan daripada tangannya.

Tangkapan skrin hantaran itu kemudiannya ditularkan di laman sosial dan mendapat kecaman daripada warga maya di atas tindakan yang tidak bertanggungjawab itu.

Perbuatan lelaki yang baru menjalani kuarantin selama tujuh hari itu tular sehingga menyebabkan beliau menyerah diri. Lelaki itu merupakan penyelia di Kuala Lumpur dan tiba di sini pada 17 Mei lalu.

Kerajaan Sarawak mewajibkan individu yang memasuki negeri itu memakai gelang tangan QR untuk memastikan mereka patuh perintah kuarantin 14 hari bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Mereka yang didapati mengganggu atau mengusik gelang tangan itu akan dianggap telah melanggar undang-undang dan boleh didenda sehingga RM3,000.

Pemakaian gelang itu telah diwartakan sehingga 9 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan