COVID-19

Covid-19: Melaka rangka strategi baharu kurangkan impak terhadap sektor pelancongan

12/02/2020 05:47 PM

MELAKA, 12 Feb -- Kerajaan negeri sedang merangka strategi baharu bagi mengurangkan impak terhadap sektor pelancongan Melaka, khususnya dalam industri perhotelan ekoran pembatalan tempahan pelancong dari China disebabkan penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata antara inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah memberi fokus terhadap sektor pelancongan kesihatan terutamanya dalam kalangan pelancong dari Indonesia.

Beliau berkata setakat ini jumlah kedatangan pelancong Indonesia ke Melaka termasuk untuk mendapatkan rawatan kesihatan di hospital swasta hanya sekitar 700,000 orang dan jumlah itu dijangka boleh ditingkatkan sehingga mencecah lebih satu juta sekiranya promosi dan pakej menarik ditawarkan.

"Kita mempunyai empat hospital swasta yang menawarkan khidmat kesihatan dan ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelancong luar negara terutama di Hospital Mahkota Medical Centre, namun banyak lagi ruang yang ada bagi menampung kedatangan pelancong kesihatan di tiga hospital swasta lain.

"Kita yakin pelancongan kesihatan adalah subsektor terbaik yang boleh dipertingkatkan selaras dengan situasi semasa yang mana khidmat kesihatan amat diperlukan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco negeri di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengesahkan dakwaan pembatalan kira-kira 95,000 tempahan hotel di negara ini akibat penularan Covid-19,  dengan menyatakan sebahagian besar pembatalan dilakukan pelawat dari China.

Covid-19, nama rasmi bagi novel koronavirus 2019 yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Mengulas lanjut, Adly berkata fokus juga akan diberikan kepada usaha menarik kedatangan pelancong domestik ke negeri itu khususnya bagi meningkatkan tempahan bilik atau menyokong industri perhotelan di Melaka.

Beliau berkata pelbagai program atau aktiviti boleh dilaksanakan di hotel antaranya mesyuarat, konvensyen dan pameran termasuk melibatkan agensi dan jabatan kerajaan.

"Kita juga akan melihat program berskala besar yang boleh dilaksanakan untuk menarik pelancong domestik dalam tempoh penularan Covid-19 dengan kerjasama pelbagai pihak dan mengambil kira nasihat daripada Jabatan Kesihatan negeri," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan