KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Malaysia dan China akan terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, khususnya bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin rumit.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuannya dengan Ahli Majlis Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong di Shenzhen, China semalam.
Beliau berkata pertemuan yang mendapat liputan meluas media utama di China itu turut memberikan tumpuan kepada usaha menangani ancaman penipuan telekomunikasi dan siber.
"Kami turut membincangkan usaha mempergiat operasi bersama, memperkukuh kerjasama dalam bidang strategik serta memajukan inisiatif antarabangsa bagi membanteras jenayah penipuan telekomunikasi dan siber," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berkata pertemuan bersejarah itu turut menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama berkaitan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara.
Beliau menyifatkan kerjasama dalam bidang keselamatan itu sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara sentiasa terpelihara.
"Malaysia dan China mempunyai hubungan dua hala yang erat. Kerjasama dalam bidang keselamatan ini penting bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan strategik, tetapi yang lebih utama memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.
Saifuddin Nasution menyertai delegasi rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial