Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Merchantrade Lancar 10,000 Kad Prabayar Sempena Kempen Melawat Malaysia

19/11/2026 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Merchantrade Asia Sdn Bhd bakal mengeluarkan 10,000 keping Kad Prabayar Visa 'Merchantrade Money Visit Malaysia' bagi memudahkan urus niaga tanpa tunai dalam kalangan pelawat antarabangsa, sebagai sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026-2027.

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Ramasamy K. Veeran berkata syarikat itu akan memantau permintaan sebelum memutuskan untuk mengeluarkan lebih banyak kad tersebut.

"Inisiatif ini disasarkan terutamanya kepada pelancong asing yang melawat Malaysia, membolehkan mereka membuat pembayaran tanpa tunai di hotel, pusat beli-belah, pasar tempatan dan gerai tepi jalan menerusi rangkaian Visa serta DuitNow QR," katanya kepada pemberita.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian selepas pelancaran kad dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Malaysia dan Merchantrade di Le Meridien Kuala Lumpur, hari ini.

Kad prabayar yang mempunyai had e-dompet RM30,000 itu turut membolehkan pengguna mengeluarkan wang tunai daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menyokong rangkaian Visa, serta menikmati diskaun di premis yang mengambil bahagian.

Ramasamy berkata Merchantrade kini mengendalikan 96 cawangan di seluruh negara dan juga merupakan pengeluar wang elektronik berlesen.

Kad tersebut juga boleh digunakan oleh rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara kerana ia menyokong transaksi antarabangsa melalui rangkaian Visa.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kerjasama itu akan membantu memastikan manfaat daripada perbelanjaan pelancong sampai kepada perniagaan tempatan seperti penjaja, penggiat seni kraf, pengusaha batik serta perusahaan mikro yang diusahakan keluarga.

Beliau berkata menghubungkan pelawat antarabangsa secara terus kepada rangkaian DuitNow QR akan membolehkan mereka membuat pembayaran tanpa tunai di premis perniagaan kecil, yang mungkin tidak menerima kad kredit dikeluarkan oleh institusi luar negara.

“Kami menyediakan kemudahan kewangan yang sama seperti yang digunakan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong antarabangsa supaya mereka boleh menikmati pengalaman, meneroka dan membuat pembayaran seperti penduduk tempatan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Kempen TMM2026-2027 menyasarkan untuk menarik 47 juta pelawat antarabangsa dan menjana RM329 bilion dalam bentuk hasil pelancongan.

Malaysia turut bekerjasama dengan 24 syarikat penerbangan bagi menyokong 46 laluan penerbangan antarabangsa termasuk 35 laluan baharu seperti Xi’an-Kuala Lumpur, Shanghai-Pulau Pinang, Busan-Kota Kinabalu dan Frankfurt-Kuala Lumpur.

Kad Prabayar Visa 'Merchantrade Money Visit Malaysia' menggabungkan e-dompet pelbagai mata wang, pembayaran tanpa sentuh Visa dan DuitNow QR sekali gus membolehkan pelancong melakukan transaksi tanpa tunai dengan peniaga di seluruh negara.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan