Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Kewangan Pergiat Sesi Libat Urus Penyediaan Belanjawan 2027 -- Amir Hamzah

01/07/2026 02:12 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) telah memulakan sesi libat urus bagi penyediaan Belanjawan 2027 melibatkan beberapa kementerian dan lokasi di seluruh negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata MOF bersama kementerian berkaitan sedang giat mengadakan sesi berkenaan sebagai sebahagian daripada proses merangka Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober tahun ini.

“Sesi libat urus telah bermula, melibatkan beberapa kementerian dan beberapa lokasi, dan akan terus dirancakkan.

Ad Banner
Ad Banner

“Penyediaan Belanjawan 2027 mengambil masa bagi memastikan ia selari dengan hala tuju kerajaan,” katanya kepada media selepas meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di sebuah stesen minyak, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan kekal menggunakan kerangka Ekonomi MADANI sebagai asas utama dalam merangka belanjawan, dengan tumpuan kepada usaha meningkatkan “siling” dan “lantai” ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan negara.

Beliau berkata selain kerangka Ekonomi MADANI, dasar yang telah diumumkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) turut menjadi panduan kepada hala tuju dasar kerajaan.

“Saya tidak mahu mendahului pembentangan belanjawan, namun struktur dan pendekatan kerajaan kekal konsisten berasaskan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya sambil menambah kerajaan akan terus membangunkan negara bagi mencapai sasaran menjadi negara maju menjelang 2030.

Sebagai rekod, Belanjawan 2026 memperuntukkan sebanyak RM419.2 bilion, merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, selain mengoptimumkan pelaburan berjumlah RM50.8 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, badan berkanun Persekutuan dan kerjasama awam-swasta bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan