KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) -- Orang ramai yang berhasrat membantu mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur, di sini digalakkan menyalurkan sumbangan dalam bentuk tunai bagi menyokong pemulihan jangka panjang mangsa.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata ketika ini sumbangan makanan dan pakaian kepada 27 keluarga yang terlibat telah melebihi keperluan semasa.
“Pada masa sama, JKM turut menyalurkan keperluan asas bagi membantu mereka sepanjang tempoh sementara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata sumbangan kewangan itu boleh digunakan bagi membantu mangsa mendapatkan tempat tinggal sementara, membayar sewa rumah serta menampung keperluan lain sepanjang proses pemulihan pascakebakaran.
Che Samsuzuki berkata JKM telah menyalurkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada setiap keluarga yang terjejas sehari selepas kejadian bagi meringankan beban mereka.
“Memasuki hari keempat kejadian, kebanyakan mangsa kini menumpang di rumah saudara-mara. Daripada 27 keluarga yang terjejas, hanya enam keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Banggol.
“Kita juga menempatkan antara tiga hingga empat pegawai JKM dan kaunselor pada satu-satu masa di PPS bagi menguruskan keperluan mangsa serta menyediakan khidmat sokongan psikososial. Setakat ini keadaan masih terkawal dan tiada permintaan khusus diterima,” katanya.
Beliau berkata JKM akan terus memantau keadaan mangsa bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pemulihan.
Pada Isnin lepas, sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur, manakala pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial