Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kelantan Teliti Status Tanah Sebelum Penempatan Semula - MB

09/06/2026 11:00 PM

KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan meneliti cadangan penempatan baharu bagi 27 keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur, di sini, semalam, selepas mendapati sebahagian mangsa mendiami rumah yang dibina di atas tanah sewaan.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata perkara itu memerlukan penelitian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat bagi memastikan kebajikan semua mangsa dapat ditangani dengan sewajarnya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan penempatan semula berikutan terdapat mangsa yang membina rumah di atas tanah yang disewa dan bukan milik sendiri.

Ad Banner
Ad Banner

“Setakat ini, mangsa ditempatkan sementara di surau kampung yang tidak terjejas dalam kebakaran itu. Selain itu, ada juga yang tinggal di Masjid Banggol serta menumpang di rumah saudara-mara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi kebakaran di Kampung Gok Kapur, di sini, hari ini, selain turut menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Tabung Serambi Mekah kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas sebagai bantuan awal.

Katanya mangsa juga menerima bantuan daripada Yayasan Kebajikan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) serta Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan (PURNAMA).

Sementara itu, meskipun kehilangan kediaman, Mohd Yusof Ahmad, 65, bertekad untuk terus menetap di kawasan itu bersama isterinya, Zarina Mohd Nor, 61, serta anak bongsu mereka, Mohd Amin Firdaus, 18, yang menghidap autisme.

Beliau berkata keluarga itu telah mendiami rumah berkenaan sejak kira-kira 40 tahun lalu dan tidak pernah terfikir untuk berpindah, meskipun kini berdepan ujian kehilangan tempat tinggal akibat tragedi berkenaan.

Mohd Yusof berkata ketika kejadian kira-kira 11 pagi, beliau berada di belakang rumah pada jarak sekitar 100 meter bersama seorang rakannya yang hanya dikenali sebagai Man, 50, bagi menyiapkan sebuah reban ayam sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran itu.

“Tanpa berlengah, saya terus bergegas pulang dan mendapati rumah sedang terbakar. Kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur. Saya sempat memanggil isteri supaya menyelamatkan diri serta mengambil beberapa dokumen penting sebelum api merebak,” katanya.

Beliau berkata rumah separa kayu dan batu yang didiami keluarganya itu musnah sepenuhnya dengan kerugian dianggarkan mencecah RM200,000 termasuk wang simpanan dan pelbagai barangan berharga yang tidak sempat diselamatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan