PADANG BESAR, 10 Jun (Bernama) -- Projek Pembinaan Fasa 1 Sekolah Sukan Malaysia Perlis kini mencapai tahap kemajuan 87 peratus, mendahului jadual sebanyak dua peratus sekali gus membuka laluan pengoperasian sekolah itu dengan kapasiti awal 200 pelajar yang dijangkakan pada tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) kini memberikan fokus kepada persediaan pengoperasian termasuk penyelarasan teknikal, perolehan perabot dan penyediaan kemudahan bagi memastikan sekolah itu dapat dibuka selepas pembinaan selesai.
“Setakat hari ini peratusan penyiapan projek adalah 87 peratus, dua peratus mendahului jadual. Jadual setakat ini sepatutnya 85 peratus, (tetapi) kita sekarang telahpun mencecah 87 peratus.
"Kita akan teruskan persiapan supaya apabila pembinaan selesai dan semua keperluan dipenuhi termasuk proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), sekolah ini boleh beroperasi dengan segera," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan sekolah sukan itu, di sini, hari ini.
Pada 27 April tahun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook, antara lain menggesa projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas diserahkan segera kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan.
Kah Woh berkata pengoperasian awal sekolah itu melibatkan pengambilan 100 pelajar lelaki dan 100 pelajar perempuan tanpa perlu menunggu keseluruhan pembangunan Fasa 2 sekolah sukan itu disiapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM104 juta di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RP1 RMK13) bagi pelaksanaan pembinaan Fasa 2 Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang akan memperluaskan kapasiti dan kemudahan sekolah berkenaan.
Katanya, Fasa 2 itu merangkumi pembinaan tambahan 12 bilik darjah, kemudahan asrama serta kuarters bagi menyokong pembangunan penuh sekolah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial