KANGAR, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited memberikan fokus kepada isu literasi dan numerasi dalam kalangan murid di negara ini yang turut diberikan penekanan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kementerian itu akan terus berusaha bagi memastikan perkhidmatan pendidikan bermutu dan berkualiti, serta pada masa sama menjamin akses kemudahan pendidikan kepada semua.
“Sudah tentu aspek literasi dan numerasi ini akan diberikan fokus oleh KPM sepanjang masa. Seperti yang saya sebut, pada Januari lepas RPM 2026-2035 telah pun dilancarkan dan kesemua aspek itu ada termaktub dalam RPM ini.
“Keseluruhan warga KPM menjunjung kasih titah Tuanku Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail),” katanya selepas majlis perasmian bangunan baharu Jabatan Pendidikan Perlis di sini hari ini, yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam titah ucapan Raja Perlis sempena perasmian bangunan baharu itu, baginda antara lain bertitah isu literasi dan numerasi juga hendaklah terus ditangani secara berfokus agar setiap murid menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sejak di bangku sekolah rendah.
Dalam pada itu, semasa berucap pada majlis perasmian itu, Kah Woh berkata pembinaan dan penambahbaikan aspek prasarana pendidikan di Perlis adalah manifestasi komitmen berterusan daripada KPM untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negeri itu.
Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 35 projek di Perlis yang dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM73.79 juta pada tahun ini, dan pelaksanaannya terdiri daripada 10 projek baharu Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RP1 RMK13) manakala 25 projek sambungan.
“Daripada 35 projek di negeri Perlis, 24 adalah projek pembinaan ataupun naik taraf, lima projek perolehan tanah dan enam projek perolehan kelengkapan dan peralatan,” katanya.
Sementara itu, Kah Woh berkata Projek Pembinaan Fasa 1 Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang dilengkapi dengan kemudahan sukan serba lengkap sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap menjelang Januari tahun depan.
“Skop pembinaan Fasa 1 ini meliputi pembinaan Blok Pentadbiran, Blok Akademik yang menempatkan 12 bilik darjah, kantin, asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, astaka utama, lapang sasar memanah, gelanggang terbuka berbumbung, dewan badminton serbaguna, trek sintetik lapan lorong dan padang bola sepak serta kemudahan lain mengikut piawaian,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM104 juta di bawah RP1 RMK13 bagi tujuan pembinaan Fasa 2 Sekolah Sukan Malaysia Perlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial